Pulau Pinang ikat lapan pemain baru

 |Jan 10, 2017
Gambar Malaysia Outlook kredit John Albert.
Gambar Malaysia Outlook kredit John Albert.

Cengkaman skuad Harimau Kumbang dalam saingan Liga Super untuk musim 2017 dilihat semakin postif dengan kehadiran 3 pemain import.

Pulau Pinang telah berjaya mengikat Diogo Alexandre Alves Ferreira, pemain pasukan kebangsaan Australia bawah 23 tahun.

Diogo akan digandingkan dengan Nigel Dabinyaba, pemain kebangsaan dari Papua New Guinea.

Mengumumkan perkara itu, ketua jurulatih Pulau Pinang, Ashley Westwood berkata, beliau tidak meletakkan sebarang sasaran namun berharap skuad Harimau Kumbang akan memberikan aksi terbaik dalam Liga Super.

”Kita tidak meletakkan apa-apa sasaran kerana ramai pemain baru akan berganding dengan pemain lama, jadi kita memerlukan sedikit masa untuk mendapat keserasian antara pemain dan hanya selepas itu kita dapat mengatur corak permainan,” kata jurulatih kelahiran England itu.

Beliau ditemui media dalam majlis memperkenalkan pemain import dan tempatan kepada media tempatan di Stadium Bandaraya Pulau Pinang.

Hadir bersama ialah Pengurus Pasukan Pulau Pinang, Zairil Khir Johari.

Westwood menjelaskan seorang lagi pemain import, Andrew James mampu memberikan saingan sengit kepada pemain pertahanan yang lain kerana pengalaman yang dimiliki menerusi kelab lamanya di Hong Kong, bakal membuka lembaran baru kepada pemain tengah Pulau Pinang.

”Andy adalah seorang pemain yang versatil, boleh ditukarkan ke posisi lain kerana corak permainannya di Hong Kong agak berbeza sikit, tapi saya melihat ini satu perkembangan positif kerana semua pemain akan memberikan prestasi terbaik,” tambah Westwood lagi.

“Pemain kelahiran Southampton, England ini akan digandingkan dengan pemain pertahanan supaya Pulau Pinang dapat bergerak dengan lebih licik,” kata Westwood.

Disamping itu, Pulau Pinang mendapatkan khidmat empat pemain tempatan menerusi Muhd Zulkhairi Zulkeply, Amirul Asyraf Mohd Suhaidi, bekas pemain kebangsaan K. Reuben dan bekas penyerang JDT11 Shazalee Ramlee.

”Kita harap Pulau Pinang akan terus memberikan saingan hebat kepada pasukan Liga Super yang lain. Kita mahu semua pemain kita berdisiplin, fokus dan memberikan aksi yang terbaik,” kata Westwood.

Ditanya mengenai keadaan pemenang Anugerah Puskas FIFA, Mohd Faiz Subri, Westwood menjelaskan, “Semua pemain belum tentu akan dapat masuk kesebelasan utama, saya pentingkan sikap yan betul, kerja sebagai satu pasukan, memberikan persembahan mantap.

“Tiada istilah kemasukan secara otomatik,“ ujarnya dengan nada serius.

Untuk rekod, skuad Harimau Kumbang terpaksa bergelumang sehingga  perlawanan akhir dengan pasukan Terengganu sebelum berjaya dikekalkan di Liga Super dengan pungutan mata sebanyak 22, terselamat daripada tercicir ke Liga Premier.