Projek RAPID: Pelaburan Arab Saudi satu kejayaan

 |Feb 28, 2017
Gambar fail kredit Facebook Azalina Othman Said.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Azalina Othman hari ini berkata kejayaan menarik keyakinan Saudi Aramco untuk melabur di dalam projek Kompleks Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) akan membuat Parlimen Pengerang terus menjadi tumpuan pelabur dalam dan luar negara.

Azalina yang juga ahli Parlimen Pengerang merujuk kepada memorandum persefahaman (MoU) ditandatangani Petronas dan Saudi Aramco bernilai RM31 billion di mana syarikat Arab Saudi itu akan mengambil alih 50 peratus ekuiti di dalam projek Rapid di Pengerang.

“Sebagai Ahli Parlimen Pengerang, saya bersama rakyat Pengerang rasa bersyukur kerana sudah pasti ia akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan perniagaan untuk rakyat tempatan,” kata Azalina di dalam satu kenyataan.

“Semua anak jati Johor tidak kira kedudukan, agama dan bangsa harus mengalukan pelaburan besar seumpama ini kerana ia akan meletakkan negeri Johor di mata dunia,” katanya, menambah bahawa pelaburan besar tersebut sekaligus memacu pembangunan negeri serta kemakmuran rakyat Johor dan Malaysia secara keseluruhanya.

“Majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Saudi Aramco dan Petronas sebentar tadi membuktikan bahawa dakwaan pembangkang sebelum ini yang mengatakan Saudi Aramco kononnya menarik diri adalah meleset sama sekali.

“Kejayaan ini tidak mampu direalisasikan tanpa ada usaha dari kerajaan negeri dan Persekutuan terutama dalam menarik pelabur bertaraf global,” kata Azalina.

Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih dan tahniah kepada Perdana Menteri Najib Razak di atas kejayaannya menarik keyakinan Saudi Aramco untuk melabur.

“Terima kasih juga kepada Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud di atas keyakinan baginda terhadap potensi yang ada di Malaysia.”