PRK Tanjung Datu diadakan 18 Februari

 |Jan 19, 2017
PRK Tanjung Datu akan diadakan pada 18 Februari. - Gambar fail kredit The Rakyat Post.
PRK Tanjung Datu akan diadakan pada 18 Februari. – Gambar fail kredit The Rakyat Post.

Piliihan raya kecil (PRK) bagi kawasan dewan undangan negeri (Dun) Tanjung Datu di Sarawak telah ditetapkan pada 18 Februari.

Perkara ini diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) setelah mengadakan mesyuarat khas berhubung PRK tersebut di ibu pejabatnya di Putrajaya pagi tadi.

Menurut Bernama, tarikh bagi pengundian awal adalah 12 Februari dan tarikh penamaan calon adalah 4 Februari.

Bagi kawasan Dun Sungai Air Tawar di Selangor pula, PRK tidak akan diadakan.

Pengerusi SPR Mohd Hashim Abdullah berkata ini adalah kerana ia tidak menjejaskan parti majoriti dalam Dun Selangor, seperti dilaporkan Bernama.

Kekosongan kerusi Tanjung Datu adalah berikutan kematian penyandangnya bekas Ketua Menteri Sarawak Adenan Satem minggu lalu setelah mengalami komplikasi jantung.

Adun Sungai Air Tawar Kamarol Zaki Abdul Malik meninggal dunia pada hari Selasa yang lalu setelah ditemui tidak sedarkan diri di ruang tamu rumahnya.