Presiden Perancis diberi sambutan negara

 |Mar 28, 2017
Presiden Peranci Francois Hollande memeriksa kawalan kehormat terdiri daripada empat pegawai dan 103 anggota lain-lain pangkat dari Batalion Pertama RAMD. – Gambar kredit Facebook PMO Malaysia / Najib Razak.

Presiden Perancis Francois Hollande, yang dalam rangka lawatan dua hari ke Malaysia, diberi sambutan negara di Dataran Parlimen di Kuala Lumpur hari ini.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V menyambut ketibaan Hollande di dataran itu pada 9.30 pagi.

Turut hadir Perdana Menteri Najib Razak, timbalannya Datuk Ahmad Zahid Hamidi dan menteri-menteri Kabinet.

Upacara sambutan dimulakan dengan nyanyian lagu kebangsaan Perancis dan Malaysia oleh Pancaragam Pusat Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dari Kem Sungai Besi disusuli dengan tembakan meriam sebanyak 21 das.

Presiden Perancis kemudian memeriksa kawalan kehormat terdiri daripada empat pegawai dan 103 anggota lain-lain pangkat dari Batalion Pertama RAMD yang diketuai Mejar Muhammad Eqram Muhammad Rosly.

Lawatan rasmi yang bermula malam tadi merupakan sebahagian daripada lawatan pertama Hollande ke ASEAN, termasuk lawatannya ke Singapura dan Indonesia.

Ia merupakan lawatan peringkat presiden yang kedua dari Paris ke Kuala Lumpur selepas lawatan Presiden Jacques Chirac pada Julai 2003.

Lawatan ini amat tepat pada masanya kerana ia juga bertepatan dengan ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik antara Malaysia dan Perancis.

Hollande, diiringi menteri-menteri, anggota Parlimen, pegawai dan delegasi perniagaan dijadualkan mengadakan mesyuarat perniagaan dengan usahawan sebelum menghadiri mesyuarat delegasi dengan Najib di Putrajaya.

Najib dan Hollande dijadual menyaksikan majlis menandatangani perjanjian termasuk berkaitan pertahanan dan penubuhan platform untuk Landskap Pertanian Lestari di Asia Tenggara.

Selepas itu, Hollande akan menyaksikan demonstrasi statik ketibaan pesawat pengangkut A400M baharu di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia di Subang.

Beliau kemudian dijadual menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, diikuti dengan majlis santapan negara sebelum berlepas ke Jakarta, Indonesia. – Bernama