Prasarana sedia tawar kepakaran dalam projek mega

 |Jul 17, 2017
Foto MO Azrol Ali.

KAJANG: Prasarana Malaysia Berhad sedia menawarkan kepakaran dan perkhidmatan
dalam beberapa projek mega membabitkan Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura dan Projek Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL).

Ketua Pegawai Eksekutf Kumpulan Prasarana, Datuk Seri Azmi Abdul Aziz berkata, setakat ini pihaknya tidak terbabit dalam sebarang bidaan projek berkenaan kerana masih di peringkat awal perancangan.

“Kita belum ada perancangan tetapi kami sentiasa bersedia jika ada keperluan dan permintaan daripada kerajaan.

“Setakat ini, kami menawarkan perkongsian kepakaran untuk projek luar negara seperti di Jakarta dan Arab Saudi,” katanya semasa ditemui media pada pelancaran fasa kedua Aliran Transit Massa (MRT) laluan Sungai Buloh – Kajang (SBK) di sini, hari ini.

Menurutnya, pembukaan fasa kedua MRT SBK ini mampu mengubah corak hidup bagi kira-kira 1.2 juta penduduk yang tinggal berhampiran dengan stesen MRT dan sekitar Lembah Klang.

Mengulas berkenaan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengenai diskaun 50 peratus bagi perkhidmatan MRT, LRT, Monorel dan Bas Rapid Transit bermula esok sehingga 31 Ogos ini, Azmi berkata ini harus digunakan sebaik mungkin oleh rakyat kerana ia dapat memberi manfaat yang besar sekaligus dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas.

Laluan SBK fasa kedua meliputi 19 stesen dari Muzium Negara ke Kajang, di mana tujuh merupakan stesen bawah tanah. – MO