‘Polisi kek halal McDonald’s tidak sesuai dipraktikkan di Sarawak’

Jan 5, 2017
Gambar fail kredit Wikimedia Commons.
Gambar fail kredit Wikimedia Commons.

Kecoh baru-baru ini mengenai polisi ‘kek halal’ di restoran rangkaian makanan segera McDonald’s.

Terbaru, setiausaha politik Ketua Menteri Sarawak Michael Tiang meminta McDonald’s supaya tidak memanjangkan polisi itu ke Sarawak.

Menurut laporan The Borneo Post, Michael berkata polisi sebegitu ‘tidak bersesuaian dengan masyarat pelbagai budaya dan agama di Sarawak’.

Michael, di dalam kenyataannya berkata jika McDonald’s Malaysia ingin mengamalkan polisi tersebut di Sarawak, beliau percaya masyarakat bukan Islam di negeri itu mungkin bertindak memboikot McDonald’s.

Bercakap mengenai toleransi kaum di Sarawak, Michael berkata untuk mengekalkan keharmonian, kerajaan negeri selama ini tidak memberi muka kepada puak pelampau.

“Sarawak tidak memberi ruang kepada mana-mana ekstremis kaum atau agama kerana ini hanya akan merosakkan solidariti sesama masyarakat di sini,” Tiang berkata.

Sebelum ini, McDonald’s mengeluarkan kenyataan bahawa hanya kek yang mempunyai sijil halal dibenarkan di restoran-restorannya. Ini berikutan McDonald’s ingin memenuhi tuntutan pensijilan halal yang mereka perolehi.

Pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) juga memuji tindakan McDonald’s Malaysia kerana ia konsisten dengan pensijilan halal bagi premis makanan.