Polis Selangor siasat dakwaan pegawai minta wang perlindungan kegiatan haram

 |Aug 10, 2017

PETALING JAYA: Polis Selangor akan menjalankan siasatan terperinci berhubung aduan salah laku membabitkan seorang pegawai polis yang dikatakan telah meminta sejumlah wang bagi melindungi kegiatan haram.

Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan dua hala bagi memastikan kesahihan dakwaan tersebut.

“Polis memandang serius akan perkara ini dan akan membuat siasatan lanjut ke atas aduan salahlaku seperti yang dinyatakan di dalam viral tersebut.

“Kami tidak sesekali akan berkompromi dengan pegawai kanan dan anggota yang telah melanggar peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan.

Mazlan berkata, polis memberi jaminan siasatan lanjut berhubung perkara tersebut akan dijalankan secara telus dan teliti tanpa melindungi mana-mana pihak.

Katanya, polis juga membuat laporan rasmi dan menjalankan siasatan rapi terhadap penulis aduan.

“Kita akan siasat sama ada wujud unsur tohmahan atau apa-apa agenda yang berniat tidak baik untuk mencemarkan nama baik dan reputasi pegawai terbabit, sekali gus mencalar imej Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya.

Semalam, tular di media sosial apabila seorang pengadu yang menggunakan nama Trinh Trinh di Facebook mendakwa pihaknya tidak berpuas hati dengan Ketua Balai Polis satu daerah di Selangor yang tamak dan telah memeras ugutnya bagi melindungi premis haram di daerah tersebut.

Pengadu mendakwa sering membayar wang perlindungan pada setiap bulan kepada pegawai polis berkenaan dan sekiranya gagal perniagaannya akan terjejas dan diganggu. – MO