Polis rekod keterangan pengarah bahagian sosial MPK

Jan 3, 2017
Pengarah bahagian sosial MPK Zaireezal Ahmad Zainuddin (kiri) telah menghadirkan diri di Balai Polis Pandamaran pada Ahad lalu.
Pengarah bahagian sosial MPK Zaireezal Ahmad Zainuddin (kiri) telah menghadirkan diri di Balai Polis Pandamaran pada Ahad lalu.

Seorang pengarah Majlis Perbandaran Klang (MPK) telah dipanggil untuk soal-siasat susulan insiden bunga api yang berlaku semasa sambutan tahun baru di Komplek Sukan Pandamaran.

Menurut laporan The Star Online, presiden MPK Mohamad Yasid Bidin berkata, pengarah bahagian sosial MPK Zaireezal Ahmad Zainuddin telahpun menghadirkan diri di Balai Polis Pandamaran pada Ahad lalu untuk memberi kenyataan.

Mohamad Yasid turut memberitahu bahawa bahagian tersebut bertanggungjawab mengendalikan aktiviti-aktiviti sosial yang melibatkan orang awam.

Tiada kakitangan MPK yang telah dipanggil selain Zaireezal setakat semalam, tambah Mohamad Yasid.

Pada awal pagi Ahad, semasa sambutan tahun baru, seramai 14 orang termasuk empat kanak-kanak mengalami kecederaan apabila terkena serpihan bunga api yang dikatakan meletup di atas tanah.

Pertunjukan bunga api tersebut merupakan sebahagian dari acara Fiesta Gegar Klang 2016 dianjurkan oleh MPK.

Walaubagaimanapun, Mohamad Yasid enggan memberi maklumat lanjut berkenaan syarikat pengurusan acara yang telah dilantik untuk menguruskan fiesta tersebut.

Beliau juga enggan mengulas lanjut berhubung dakwaan yang menyatakan mereka tidak memohon permit untuk pertunjukan bunga api.

“Biar polis teruskan dengan siasatan mereka. Kita juga sedang mengadakan siasatan dalaman untuk mengetahui apa yang berlaku dan juga untuk mengambil tindakan lanjut.”

Mohamad Yasid juga berkata mereka masih lagi di dalam proses mengumpul maklumat dan laporan, dan keputusannya akan diumumkan kepada semua ahli majlis.