Polis Pulau Pinang bongkar sindiket dadah, rampas harta bernilai RM676 ribu

 |May 2, 2017
Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang Roslee Chik menunjukkan dadah yang dirampas kepada media di IPK Pulau Pinang. – Gambar kredit R Mahgesan.

Polis Pulau Pinang merampas dadah bernilai RM80 ribu dalam serbuan ke atas dua premis berasingan.

Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) menahan tiga lelaki dan dan seorang wanita Laos di sebuah apartmen di Jalan Sinaran, Glugor pada 27 April kira-kira jam 9.15 malam.

Dalam serbuan itu, polis merampas dadah jenis ketamin seberat 895 gram dan dua paket lutsinar berisi dadah jenis heroin seberat 8 gram.

Polis juga menemui dadah jenis pil ekstasi dan yaba dan anggaran rampasan dadah ialah RM42 ribu.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Roslee Chik berkata, pihaknya membuat intipan untuk beberapa bulan sebelum menumpaskan sindiket dadah ini.

“Kita ada buat intipan sendiri dan akhirnya berjaya membongkar kegiatan sindiket ini. Susulan penahanan itu, saspek membawa polis ke sebuah rumah kedai di Lebuh Melayu pada 28 April.

“Premis tersebut dijadikan makmal memproses pelbagai jenis dadah dan kita percaya dadah yang dirampas ini adalah untuk pasaran tempatan,“ kata Roslee.

Anggaran rampasan dirumah kedai itu adalah sekitar RM80 ribu.

Polis juga merampas 3 jenis motosikal kuasa besar dan tiga buah kereta milik saspek, tiga utas rantai dan jam tangan serta wang tunai bernilai RM41,750 dan wang 800,000 Bhat.

Jumlah keseluruhan harta yang disita ialah RM676,679.

“Kita percaya sindiket ini baru beroperasi lebih kurang enam bulan dan polis menyiasat samada sindiket ini ada kaitan dengan sindiket dadah lain,” kata Roslee yang ditemui di sidang akhbar di IPK Pulau Pinang.

Hadir sama dalam sidang akhbar itu ialah Ketua JSJN Pulau Pinang, Superintenden Maidu Abu Bakar.

Kes disiasat dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Bahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Kesemua saspek kini direman sehingga 4 Mei.

Roslee juga memohon kerjasama anggota masyarakat untuk menyalurkan maklumat sekiranya terlihat individu yang mencurigakan di kawasan perumahan masing-masing.

SHARE
John Albert - MO correspondence.