Polis minta setiausaha kedua Kedutaan Korea Utara tampil bantu siasatan

 |Feb 22, 2017
Gambar fail kredit Facebook Khalid Abu Bakar.
Gambar fail kredit Facebook Khalid Abu Bakar.

Seorang daripada dua individu yang dicari polis bagi membantu siasatan kes pembunuhan lelaki warga Korea Utara di Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (Klia2) Isnin lepas, dikenal pasti sebagai Setiausaha Kedua Kedutaan Korea Utara di Malaysia.

Beliau dikenali sebagai Hyon Kwang-song, 44, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Katanya seorang lagi yang dicari polis ialah pekerja syarikat penerbangan Korea Utara (Koryo Air), yang dikenali sebagai Kim Uk-il, 37, dan kedua-dua dipercayai masih berada di negara ini.

“Saya telah meminta kedua-dua mereka untuk tampil membantu siasatan kes berkenaan.

“Sekiranya mereka enggan tampil membantu siasatan, polis akan mengeluarkan waran tangkap kepada mereka,” katanya pada sidang akhbar yang diadakan di ibu pejabat polis Bukit Aman di Kuala Lumpur, hari ini.

Sementara itu, polis percaya empat suspek Korea Utara yang telah pulang, terlibat secara
aktif dalam kes pembunuhan tersebut.

Polis Malaysia akan meminta Kedutaan Korea Utara di sini dan kerajaan Korea Utara supaya membantu mengesan empat suspek yang telah lari ke Pyongyang itu.

Dalam perkembangan berkaitan, polis akan memohon untuk melanjutkan perintah tahanan reman selama tujuh hari lagi terhadap tiga suspek yang ditahan sebelum ini bagi membantu siasatan, kata Khalid.

Beliau berkata permohonan akan dibuat hari ini terhadap wanita menggunakan pasport Vietnam dengan nama Doan Thi Huong (28), Siti Aishah (25) yang mengggunakan pasport Indonesia dan seorang lelaki Korea Utara yang dikenali Ri Jong Chol (47).

“Seorang lelaki warga tempatan Muhammad Farid Jalaluddin, 26, yang ditahan sebelum ini, dibebaskan dengan jaminan polis,” katanya lagi.

Lelaki warga Korea Utara dipercayai Kim Jong-nam, abang pemimpin tertinggi Korea Utara Kim
Jong-un, dilaporkan meninggal dunia pada 13 Feb lepas ketika dalam perjalanan ke
Hospital Putrajaya.

Dia sebelum itu dilaporkan berada di Klia2 sementara menunggu penerbangannya ke Macau apabila diserang dua wanita dengan mukanya ditekup dengan kain yang dipercayai mengandungi cecair beracun.

Lelaki itu datang ke Malaysia pada 6 Feb dengan menggunakan pasport di bawah nama Kim Chol. – Bernama