Polis klasifikasi semula kes Mohamad Thaqif

 |Jul 11, 2017
Allahyarham Mohamad Thaqif Amin Mohd Ghaddafi. – Gambar asal Facebook Dayang Thaqifah.

KUALA LUMPUR: Susulan keputusan bedah siasat kematian pelajar tahfiz Al-Jauhar, Mohamad Thaqif Amin Mohd Ghaddafi disebabkan jangkitan air kencing tikus, polis kini akan mengklasifikasikan semula siasatan kes tersebut.

Harian Metro melaporkan, Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, sebelum ini siasatan membabitkan pelajar berusia 11 tahun itu diklasifikasikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Menurutnya, polis akan merujuk Timbalan Pendakwaraya dengan cadangan seksyen disiasat mendatangkan kecederaan.

“Yang pastinya kita akan memastikan kes ini pergi ke majistret untuk dibicarakan,” katanya.

Keputusan bedah siasat yang dikeluarkan semalam mendapati kematian Mohamad Thaqif berpunca akibat penyakit kencing tikus atau leptospirosis dan bukannya trauma atau kecederaan.

Sebelum ini seorang pembantu warden madrasah tahfiz yang disyaki mendera murid itu dibebaskan dengan jaminan bon mahkamah RM20,000 pada 3 Mei lalu.

Lelaki berkenaan masih digantung tugas dan statusnya hanya akan ditentukan selepas selesai siasatan polis. – MO