Polis cari individu di sebalik ‘kempen’ sembur cat wanita berpakaian seksi

Jan 9, 2017
Gambar yang dimuatnaik di laman Facebook 'Thaipusam Spraying Group'.
Gambar yang dimuatnaik di laman Facebook ‘Thaipusam Spraying Group’.

Tindakan seorang pengguna laman Facebook, Henry Barnabas mencadangkan satu ‘kempen’ sempena Thaipusam telah mengundang pelbagai reaksi, terutama di kalangan penganut agama Hindu di Malaysia.

Menamakan ‘kempen’ di Facebook itu sebagai ‘Thaipusam Spraying Group’, Henry menulis di laman tersebut, “Amaran awal bagi wanita beragama Hindu yang bakal datang ke festival Thaipusam, berhati-hati anda akan disembur cat aerosol jika didapati memakai pakaian menjolok mata.”

Laman yang dibuka minggu lalu itu kini mempunyai 143 ahli.

Menurut laporan portal berita Free Malaysia Today, Ketua Komunikasi Korporat PDRM ACP Asmawati Ahmad berkata perkara seperti itu boleh dianggap sebagai jenayah.

Jika didapati bersalah, mereka boleh dihukum di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan kerana intimidasi jenayah atau Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia kerana penggunaan tidak wajar kemudahan atau perkhidmatan jaringan.

“Jadi jangan cemarkan acara agama dengan melakukan perkara yang boleh mengganggu keharmonian masyarakat,” Asmawati dipetik sebagai berkata.

Di laman Facebooknya sendiri, Henry menjelaskan bahawa apa yang dilakukannya hanya untuk memelihara kesucian perayaan Thaipusam.

Di ruangan komen pula, Henry menggesa agar cadangannya diviralkan.

Mempertahankan tindakannya, Henry berkata ‘lelaki hanya mahu melindungi kaum wanita, tetapi kaum wanita berperangai seperti pelacur.’

“Apabila mereka (wanita) dilanda masalah, mereka akan menyalahkan lelaki,” katanya lagi.

Pengguna Facebook Saravanan Many berkata, “Jika disembur (cat), itu akan menjadi kes polis dan tertakluk kepada tindakan undang-undang. Anda boleh disaman.”

Tidak kurang juga mereka yang bersetuju dengan cadangan Henry.

Memetik laporan Star Online pula, ketua polis Selangor Abdul Samah Mat berkata pihak polis sudah mengambil maklum perkara ini dan akan mengambil tindakan yang sepatutnya.

Abdul Samah juga memberitahu Star Online bahawa ugutan menyembur cat pada wanita berpakaian seksi itu adalah salah di sisi undang-undang dan pihak polis sedang mencari individu yang terlibat membuka laman Facebook itu.