PM umum diskaun 50 peratus bagi pengguna perkhidmatan Prasarana

 |Jul 17, 2017
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor di majlis pelancaran fasa kedua MRT laluan SBK di stesen Tun Razak Exchange hari ini. – Foto MO Azrol Ali.

KUALA LUMPUR: Pengguna MRT, LRT, Monorel dan bas rapid transit dibawah pengurusan Prasarana Malaysia Berhad akan menikmati diskaun 50 peratus bermula esok sehingga 31 Ogos nanti.

Perkara tersebut diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada pelancaran fasa kedua MRT laluan Sungai Buloh – Kajang (SBK) di stesen MRT Tun Razak Exchange di sini, hari ini.

Tambahnya lagi, pengguna MRT bagi laluan SBK fasa kedua turut diberikan peluang menggunakan pengangkutan awam tersebut secara percuma bermula jam 4 petang ini hingga tengah malam nanti.

“Bagi meraikan pencapaian sejarah ini, rakyat boleh menggunakan MRT ini secara percuma hari ini,” katanya.

Menurut Najib, projek MRT laluan SBK berjaya disiapkan dengan kos sebanyak RM21 billion.

“Kos asal bagi projek ini adalah RM23 bilion dan kita berjaya jimat RM2 billion untuk projek ini.

“Projek ini pada awalnya dijangka siap hujung Julai tetapi dapat disiapkan dua minggu lebih awal dan ini sekaligus mengotakan janji kepada rakyat untuk menyediakan perkhidmatan pengangkutan awam yang terbaik,” tambahnya lagi.

Najib berkata perkhidmatan MRT mampu menjimatkan masa kerana jika menggunakan bas atau kereta, perjalanan ke Kajang memakan masa 2 jam sehari berbanding penggunaan MRT yang hanya memerlukan masa 88 minit sahaja.

Beliau juga berkata penggunaan MRT dapat menjadikan ekonomi lebih dinamik kerana dapat menjimatkan kos sara hidup dan penyelenggaraan kenderaan.

Projek MRT juga memberikan lebih 140,000 peluang pekerjaan kepada rakyat, kata Najib.

Bercakap mengenai integrasi pengangkutan awam di Wilayah Persekutuan, beliau menegaskan ini akan dapat dicapai pada tahun 2027 nanti.

Di samping itu, Najib berkata beliau berbangga dengan penglibatan kontraktor Bumiputera di dalam projek MRT ini.

“Bumiputera yang terbaik dari segi prestasi dan praktikal dipilih untuk bersama dalam projek ini dan bukan sahaja memilih ‘kroni’,” katanya.

Fasa pertama MRT – SBK dibuka pada Disember tahun lalu melibatkan 12 stesen dari Sungai Buloh ke Semantan.

Manakala fasa kedua ini melibatkan 19 stesen dari Muzium Negara ke Kajang, di mana tujuh merupakan stesen bawah tanah. – MO