PM Najib mempengerusikan mesyuarat tergempar MKN

Mar 7, 2017
Gambar fail – (kredit Merdeka Online).

Perdana Menteri Najib Razak mempengerusikan mesyuarat tergempar Majlis Keselamatan Negara (MKN), sebaik tiba dari Jakarta petang ini, berhubung tindakan Korea Utara menghalang rakyat Malaysia meninggalkan negara itu.

Najib tiba di Lapangan Terbang Tentera Udara Diraja Malaysia di Subang, pada pukul 5.40 petang dan mempengerusikan mesyuarat itu di situ.

Beliau berada di Jakarta sejak semalam bagi menghadiri siding kemuncak Negara-negara Pesisir Lautan Hindi (IORA) yang berakhir hari ini.

Antara yang hadir pada mesyuarat tergempar MKN itu ialah Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Komunikasi dan Multimedia Salleh Said Keruak, Ketua Setiausaha Negara Ali Hamsa dan Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar.

Turut hadir ialah Ketua Pengarah Imigresen Mustafar Ali, Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara Zulkifeli Mohd Zin, Peguam Negara Mohamad Apandi Ali dan Panglima Angkatan Tentera Jeneral Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.

Perdana menteri pagi ini mengeluarkan arahan dari Jakarta supaya menghalang semua warga Korea Utara daripada meninggalkan negara ini, sebagai tindak balas terhadap arahan Kementerian Luar Korea Utara yang menyekat rakyat Malaysia di negara itu daripada meninggalkan Korea Utara. – Bernama

SHARE