PKR tidak bertanding PRK Tanjung Datu

 |Jan 25, 2017
Gambar fail.
Gambar fail.

PKR hari ini mengumumkan parti tersebut tidak akan bertanding di pilihan raya kecil (PRK) Tanjung Datu di Sarawak.

New Straits Times melaporkan pengerusi PKR Sarawak Baru Bian sebagai berkata keputusan itu merupakan tanda pengiktirafan terhadap polisi yang dilaksanakan bekas Ketua Menteri negeri itu, Allahyarham Adenan Satem.

Adenan yang juga merupakan ahli dewan undangan negeri (Adun) Tanjung Datu meninggal dunia pada 11 Januari.

Disebabkan keputusan dan polisi dilaksanakan Adenan semasa hayatnya adalah selari dengan visi dan aspirasi Deklarasi Kuching Pakatan Harapan, pihak PKR sebulat suara bersetuju untuk tidak bertanding.

Bercakap di sidang media di Kuching Hari ini, Baru berkata pengunduran mereka bukan pengakuan kelemahan.

“Kita melihat gambaran lebih luas dan membuat persiapan untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang,” katanya.

Pada pilihan raya negeri Sarawak yang diadakan tahun lalu, Adenan memenangi kerusi Tanjung Datu dengan mengalahkan calon PKR Jazolkipli Numan.