Pesakit mental melecur 90 peratus dipercayai bakar diri sendiri

 |Mar 6, 2017
Gambar fail kredit Wikimedia.

Seorang lelaki yang pernah menjalani rawatan sakit mental melecur 90 peratus selepas dipercayai membakar dirinya sendiri berhampiran sebuah taman permainan di Taman Bukit Indah, di sini semalam, menurut polis.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri Supt Noor Hashim Mohamad berkata kejadian itu dilaporkan oleh orang awam kepada polis pada kira-kira 5.30 petang.

“Lelaki berusia 30-an itu dijumpai terbaring dengan kesan lecur 90 peratus di anggota badan ekoran hanya memakai seluar pendek. Dia kini dirawat di Unit Rawatan Rapi Hospital Sultanah Aminah (HSA),” katanya dalam sidang media di Iskandar Puteri, hari ini.

Beliau berkata polis menemukan satu botol plastik mengandungi petrol di tempat kejadian yang dipercayai digunakan lelaki itu untuk membakar dirinya.

Katanya seorang lelaki berusia 70-an tampil memberi keterangan di balai polis berdekatan mengaku mangsa adalah anaknya dan pernah dirawat sebagai pesakit mental.

Beliau berkata bagaimanapun polis akan menjalankan siasatan lanjut bagi
mengenal pasti punca lelaki itu terbakar dan melecur. – Bernama