Perumahan awam Razak Mansion tinggal kenangan

 |Mar 16, 2017
Gambar menunjukkan Razak Mansion sebelum melalui proses pembangunan semula – Gambar kredit Sivaneswary Vadivelu melalui Flickr.

Dalam keterujaan menduduki rumah baharu di Perumahan 1Razak Mansion, kebanyakan penduduk asal perumahan awam (PA) Razak Mansion di Jalan Sungai Besi, Kuala Lumpur, berharap keakraban penduduk pelbagai kaum sejak 40 tahun lepas dapat dikekalkan.

Warga emas Sun Lin Zhen, 78, berkata beliau mempunyai jiran kaum Melayu dan India yang sentiasa sudi menghulurkan bantuan apabila diperlukan.

“Walaupun kami bakal berpindah ke rumah baharu, banyak kenangan yang tidak dapat dilupakan sepanjang lebih 40 tahun di blok lama dan jiran pelbagai kaum yang bagaikan keluarga kami sendiri,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Beliau antara 658 penghuni PA Razak Mansion yang menerima kunci kediaman baharu pada Majlis Penyerahan Kunci 1Razak Mansion oleh Perdana Menteri, Najib Razak di Kuala Lumpur semalam.

Sebanyak 658 unit rumah baharu dibina di bawah projek itu dengan keluasan 800 kaki persegi berbanding saiz unit lama di PA Razak Mansion iaitu 399 hingga 504 kaki persegi, dengan tiga bilik dan dua bilik air, selain dilengkapi pelbagai kemudahan awam.

Pembinaan PA Razak Mansion yang dimulakan pada 1963 itu dirasmikan bapa Najib, Abdul Razak Hussein pada 1967 yang merupakan Timbalan Perdana Menteri ketika itu.

Suri rumah S. Letchumi, 45, yang mendiami perumahan awam itu sejak 1978 berkata kebanyakan penghuni di situ meraikan perayaan bersama-sama dan bergotong-royong mengadakan rumah terbuka dan kenduri kahwin.

“Suasana seperti itu pasti akan dikenang sampai bila-bila. Meskipun di 1Razak Mansion kami boleh melakukan perkara serupa, namun suasana seperti kampung itu mungkin tidak dirasai seperti di rumah lama kami,” katanya.

Peniaga Lim Kah Wei, 27, pula berpuas hati dengan kediaman baharu yang bakal didiaminya dengan kemudahan pasar baharu dan tempat letak kereta yang lebih banyak.

Penjawat awam Mohamad Salleh Ismail, 40, mencadangkan kerajaan mengekalkan satu blok PA Razak Mansion sebagai simbol kenangan kepada penduduk.

“Jika mahu robohkan sekali pun, tinggalkan satu blok untuk kami mengenang memori lama tinggal di kawasan itu ataupun kekalkan memorial Razak Mansion yang terletak di pintu masuk kawasan perumahan,” katanya.

Projek pembangunan semula yang menelan kos sebanyak RM150 juta itu memperkenalkan konsep penggantian unit kediaman ‘one to one’ kepada penduduk, yang mula dibina pada 2014 dan siap selepas dua setengah tahun.

Projek itu dilaksanakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dengan pemaju dilantik oleh Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) Jabatan Perdana Menteri. – Bernama