Pertunjukan bunga api tidak mendapat kelulusan MPK

Jan 4, 2017
Exco kerajaan negeri Selangor Ean Yong Hian Wah berkata siasatan awal mendapat MPK tidak meluluskan pertunjukan bunga api di Fiesta Gegar Klang 2016. - Gambar fail kredit Facebook Ean Yong Hian Wah.
Exco kerajaan negeri Selangor Ean Yong Hian Wah berkata siasatan awal mendapat MPK tidak meluluskan pertunjukan bunga api di Fiesta Gegar Klang 2016. – Gambar fail kredit Facebook Ean Yong Hian Wah.

Pertunjukan bunga api di Fiesta Gegar Klang 2016 baru-baru ini dikatakan tidak mendapat kelulusan pihak Majlis Perbandaran Klang (MPK).

Exco kerajaan negeri Selangor Ean Yong Hian Wah berkata mengikut siasatan awal dan rekod mesyuarat, MPK tidak pernah meluluskan pertunjukan bunga api tersebut dan acara itu bukan salah satu komponen di dalam program rasmi Fiesta Gegar Klang 2016.

“Pegawai yang terlibat dalam isu ini telah diberikan arahan untuk mengambil cuti mulai 3 Januari 2017 hingga 31 Januari 2017 sementara menunggu laporan penyiasatan,” kata Ean Yong.

Tambah beliau, kerajaan negeri Selangor memandang serius tentang insiden yang berlaku.

“Sebarang pegawai atau pihak yang didapati berlaku cuai dan menyalahguna kuasa akan dikenakan tindakan disiplin atau undang-undang.

“Pihak MPK juga akan terus bekerjasama dengan pihak polis untuk menjalankan siasatan yang selanjutnya,” tambahnya lagi.

Ean Yong turut memaklumkan bahawa MPK telah menubuhkan Jawatankuasa Penyiasatan pada 1 Januari yang dianggotai dua orang Pengarah Jabatan, seorang Timbalan Pengarah dan seorang Pegawai Tadbir.

Jawatankuasa tersebut akan mengemukakan laporan dalam tempoh 14 hari.

Semasa sambutan ambang tahun baru di Komplek Sukan Pandamaran, pertunjukan bunga api dicemari insiden di mana bunga api telah meletup di atas tanah dan mengakibatkan 14 orang mengalami kecederaan.

Artikel berkaitan:

Juruletup bunga api diminta tampil bantu siasatan

Polis rekod keterangan pengarah bahagian sosial MPK