Perogol bersiri di Kanada mungkin dihantar pulang ke Malaysia

 |Jan 18, 2017
Selva Kumar 'Richard' Subbiah dihukum penjara 24 tahun atas beberapa kesalahan termasuk rogol. - Gambar fail kredit Toronto Star.
Selva Kumar ‘Richard’ Subbiah dihukum penjara 24 tahun atas beberapa kesalahan termasuk rogol. – Gambar fail kredit Toronto Star.

Selva Kumar Subbiah, rakyat Malaysia yang menjalani hukuman penjara di Kanada sejak tahun 1992 atas jenayah rogol mungkin akan dihantar balik ke sini selepas tempoh hukumannya tamat pada 29 Januari ini, menurut Toronto Star.

Selva Kumar yang juga dikenali sebagai Richard Subbiah seorang perogol bersiri dihukum 24 tahun penjara setelah didapati bersalah terhadap 19 kesalahan serangan seks, 28 kesalahan berkaitan dadah, 10 kesalahan pelbagai serangan dan 12 kesalahan lain termasuk peras ugut.

Akhbar Kanada itu melaporkan semalam bahawa pihak berkuasa Kanada bercadang untuk menghantar Selva Kumar, 56, pulang ke Malaysia tetapi enggan memberitahu samada mereka akan memberi amaran kepada polis Malaysia atau masyarakat di sini terlebih dahulu.

Paul Normandeau, peguam pendakwaraya yang terlibat membicarakan kes Selva Kumar dilaporkan bertanya, “Adakah mana-mana warga Kanada berasakan adil untuk menghantar seseorang itu pulang ke negara asalnya tanpa memberitahu terlebih dahulu tentang senarai sabit kesalahannya? Adakah Kanada tidak mesra dengan Malaysia?”

Agensi Khidmat Sempadan Kanada (CBSA) di dalam satu kenyataan berkata Selva Kumar akan ditahan setelah dibebaskan dari penjara sebelum dihantar pulang ke Malaysia.

Toronto Star di dalam melaporkan kenyataan tersebut berkata walaubagaimanapun CBSA tidak memberitahu samada Selva Kumar akan diiring pulang oleh pengawal seperti mana yang telah diarahkan oleh hakim David Humphrey semasa menjatuhkan hukuman dahulu.

Semasa perbicaraan Selva Kumar, Humphrey di dalam menjatuhkan hukuman mengarahkan pihak polis Kanada mengiringi Selva Kumar pulang ke Malaysia setelah tamat tempoh penjaranya nanti.

Beliau juga mengarahkan pihak polis untuk memberikan polis Malaysia fail kesalahan Selva Kumar.

Terdahulu, Toronto Star turut melaporkan bahawa pihak pegawai penjara telah memberi amaran bahawa Selva Kumar berisiko tinggi untuk mengulangi kesalahannya setelah dibebaskan.

Minggu lalu, Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar dilaporkan oleh akhbar bahasa Inggeris The Star sebagai berkata polis akan menyemak status Selva Kumar dengan kerajaan Kanada melalui Suruhanjaya Tinggi negara itu di sini.

Selva Kumar dikatakan tiba di Kanada pada tahun 1980 dan tidak pernah memiliki taraf penduduk tetap. Dia diberikan visa pelajar dan pelawat di mana dia mendakwa dirinya pelajar bidang keagamaan di Universiti McMaster dan Universiti Ryerson.

Menurut beberapa laporan media, Selva Kumar dikatakan menyamar sebagai penerbit filem atau pencari bakat model untuk mmenggoda wanita.

Semasa ditahan, polis menjumpai buku nota yang dikatakan mengandungi nama lebih kurang 400 wanita berkemungkinan mangsa-mangsa Selva Kumar.