Perkasa gesa kerajaan beri perhatian isu pendidikan di Sabah

Jan 6, 2017
Presiden Perkasa Ibrahim Ali bersama ketua Wira Perkasa Sabah Mohd Syafiq Japar di Beluran, Sabah. - Gambar kredit Perkasa.
Presiden Perkasa Ibrahim Ali bersama ketua Wira Perkasa Sabah Mohd Syafiq Japar di Beluran, Sabah. – Gambar kredit Perkasa.

Menarik perhatian terhadap isu keadaan pendidikan kaum pribumi di Sabah, Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) hari ini memohon agar kerajaan pusat mewujudkan pembiayaan khusus bagi anak negeri Sabah.

Wira Perkasa Sabah mendakwa anak-anak pribumi Sabah masih jauh kekurangan dari segi dana pendidikan untuk melanjutkan pelajaran.

Hal pembiyaan pendidikan masi menjadi isu utama kepada taraf pendidikan yg masih di tahap yang kurang memuaskan kepadan anak-anak jati negeri Sabah,” kata ketua Wira Perkasa Sabah Mohd Shafiq Japar.

Memberi contoh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), beliau berpendapat ini menjadi isu kerana ia berbentuk pinjaman dan menyusahkan pelajar-pelajar.

“Di samping itu, pihak kerajaan perlu menyelaraskan semula pemotongan bajet IPT yang dilihat telah membebankan pelajar dari sudut menjalankan aktiviti di universiti dan juga pengangkutan bas.

“Tambahan pula, Wira Perkasa Sabah ingin mencadangkan kepada kerajaan untuk menyediakan peruntukan khas kepada mahasiswa untuk menjalankan aktiviti keusahawanan di universiti kerana melihat minat keusahawanan sudah mula mekar dalam diri mahasiswa di universiti.”

Dalam perkembangan berkaitan, Presiden Perkasa Ibrahim Ali turut meninjau keadaan pelajar di Beluran, Sabah dengan menaiki bot bersama Mohd Shafiq.

Di dalam kenyataannya, Mohd Shafiq memberi contoh isu viral di media sosial mengenai pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Ulu Sugut di Ranau yang terpaksa berjalan kaki ke sekolah kerana kenderaan tidak dapat melalui jalan yang berlumpur dan licin.

Oleh itu, Wira Perkasa Sabah membangkitkan isu kemudahan jalan perhubungan ke sekolah yang kurang memuaskan.

“Kemudahan jalan perhubungan ke sekolah sering menjadi isu buat para pelajar dan guru terutamanya di kawasan pedalaman Sabah.

“Wira Perkasa Sabah bukannya menyalahkan sesiapa mahupun pihak kerajaan tetapi ingin memohon kepada pihak berwajib untuk menyelesaikan masalah berikut dengan kadar segera.

“Di zaman yang serba maju ini seharusnya tidak ada lagi keluhan rakyat mengenai kemudahan asas sebegini. Pembangunan jalan raya di Sabah seharusnya sama taraf dengan jalan raya di Semenanjung Malaysia,” tambahnya lagi.