Perdana Menteri juga berhak bercuti, kata Syed Ali

Jan 4, 2017
Syed Ali Alhabshee berkata Najib Razak jarang mengambil cuti, sebaliknya sering bertungkus lumus bekerja demi negara dan Umno. - Gambar fail kredit Facebook Najib Razak.
Syed Ali Alhabshee berkata Najib Razak jarang mengambil cuti, sebaliknya sering bertungkus lumus bekerja demi negara dan Umno. – Gambar fail kredit Facebook Najib Razak.

Sebagai seorang ketua negara yang memerlukan rehat secukupnya, Perdana Menteri Najib Razak juga berhak bercuti.

Ketua Umno bahagian Cheras, Syed Ali Alhabshee dalam mempertahankan percutian Najib bersama keluarganya di Australia melontarkan soalan kenapa terdapat mereka yang sakit hati dengan percutian tersebut sedangkan bercuti merupakan perkara lumrah.

“Kenapa tidak ada pula orang bertanya dan ambil tahu betapa Najib telah bekerja tanpa mengira waktu dan masa untuk membangunkan negara dan rakyat?

“Ada ke yang bertanya atau melahirkan rasa simpati terhadap Najib yang siang malam bekerja memikirkan bagaimana untuk memakmurkan rakyat termasuk masa depan orang Melayu,” soal Syed Ali melalui tulisan di blognya.

Pentadbiran negara tidak akan terjejas seandainya Perdana Menteri bercuti, kata Syed Ali, kerana negara masih mempunyai Timbalan Perdana Menteri serta barisan jemaah menteri.

Sepanjang perkenalannya dengan Najib, Syed Ali berkata Pengerusi Barisan Nasional itu jarang mengambil cuti, sebaliknya bertungkus lumus bekerja sama ada untuk negara dan Umno.

Berkenaan penggunaan jet kerajaan, Syed Ali mempertahankan perkara tersebut, dan menjelaskan tidak salah bagi mana-mana Perdana Menteri atau ketua kerajaan menggunakan pesawat khas untuk bercuti.

Kenyataan Syed Ali ini merujuk kepada percutian Najib yang telah viral di media sosial.

Setiausaha badan perhubungan Umno Wilayah Persekutuan itu menyifatkan usaha pihak tertentu memanipulasikan isu tersebut sebagai golongan yang sudah bankrap politik.

Semalam, Timbalan Menteri Dalam Negeri Nur Jazlan Mohamed berkata sebagai Perdana Menteri, Najib berhak menggunakan pesawat kerajaan Airbus Corporate Jet A319.

Seperti dilaporkan Malaysiakini, Nur Jazlan berkata walaupun lebih elok jika Perdana Menteri menguruskan penerbangannya secara peribada, terdapat isu yang perlu dipertimbangkan seperti keselamatan.

SHARE