Perangi rasuah dengan sikap kepimpinan yang betul, kata Tunku Aziz

 |Aug 9, 2017
Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim. – Gambar fail MO.

PETALING JAYA: Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah Malaysia (LPPR), Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim menyifatkan kepimpinan yang ada pada Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Dzulkifli Ahmad dapat memerangi rasuah dengan lebih efektif.

Sempena ulangtahun pertama Dzulkifli menerajui kepimpinan SPRM, Tunku Abdul Aziz berkata Dzulkifli dilihat mampu memerangi rasuah dengan sokongan yang betul terhadap kepimpinannya.

“Secara peribadi Dzulkifli adalah seorang yang tidak peduli dengan cakap orang dan tidak kisah dengan apa yang orang fikir terhadap dirinya kerana keutamaannya adalah untuk menjalankan tugas dengan baik.

“Dia mengutamakan kerja dan bukan anugerah atau pencapaian peribadi,” katanya kepada Malaysia Outlook.

Jelasnya, LPPR mempunyai rasa hormat yang tinggi terhadap Dzulkifli yang disifatkan sebagai jujur dan berintegriti bagi melakukan perkara yang betul demi undang-undang negara.

Tunju Abdul Aziz yang sudah dua penggal menjadi pengerusi LPPR berkata individu yang mengetuai SPRM perlu dipilih secara berhati-hati.

“Individu yang mengetuai SPRM bukan sahaja perlu arif menjalankan tugasnya tetapi seorang yang mempunyai nilai integriti yang tinggi, jujur dan mempunyai latar belakang perundangan dan seboleh-bolehnya pernah berkhidmat dengan kerajaan.

“Terdapat 17,000 peguam di Malaysia, kita tidak boleh memilih sesiapa sahaja antara mereka. Ramai peguam hari ini mempunyai agenda politik.

“Kita lantik orang seperti ini mengetuai SPRM, kita aka berhadapan masalah dan sebab itu saya kata kita perlu berhati-hati,” katanya.

Dzulkifli dilantik Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 1 Ogos 2016 menggantikan Tan Sri Abu Kassim Mohamed.

Berusia 49 tahun, beliau mempunyai pengalaman luas dalam kes jenayah perdagangan dan pengubahan wang haram.

Berkelulusan Sarjana Muda Undang-Undang (Kepujian) dari Universiti Islam Antarabangsa, Datuk Dzulkifli memulakan kerjaya sebagai Timbalan Pendakwa Raya (TPR) di Unit Jenayah Perdagangan, Bahagian Pendakwaan, Jabatan Peguam Negara sejak 7 Jun 1993 hingga Februari 2002.

Beliau kemudian dilantik sebagai TPR Unit Terkelas dari Mac 2002 hingga Februari 2003.

Datuk Dzulkifli yang berkahwin dengan Datin Bitizela Mohd Bidin dan mempunyai dua anak seterusnya dilantik sebagai Ketua Unit Jenayah Perdagangan, dari 1 Nov 2010 hingga 14 Jan 2015.

Pada 15 Jan 2015 sehingga 11 Ogos 2015, beliau dilantik sebagai Pengarah Pengurusan Kes-kes Jenayah, dan pada 12 Ogos 2015 sehingga kini, beliau memegang jawatan Pengarah Pasukan Penguatkuasa Pemulihan Hasil Negara, Jabatan Peguam Negara.

Beliau yang mempunyai Diploma Syariah dan Amalan Guaman dari universiti sama banyak mengendalikan kes-kes berprofil tinggi, antaranya kes tipu dan pecah amanah melibatkan Lembaga Tabung Haji berjumlah RM200 juta dan kes seorang doktor wanita didakwa terhadap lapan pertuduhan melibatkan diri dalam pengubahan wang haram lebih RM41 juta.

Dzulkifli yang berasal dari Kepala Batas, Pulau Pinang juga terlibat dalam kes bekas Menteri Besar Selangor Dr Mohamad Khir Toyo yang didakwa menggunakan kedudukannya untuk memperoleh tanah dan sebuah banglo di Shah Alam, serta kes tipu berhubung projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ). – MO