Perak masih cari tapak sesuai untuk lapangan terbang baharu

 |Apr 26, 2017
Gambar fail kredit www.rgbstock.com.

Kerajaan Perak masih mencari tapak yang sesuai untuk pembinaan lapangan terbang yang baharu bagi menggantikan Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) di Ipoh, kata Menteri Besar Zambry Abd Kadir.

Tanpa menjelaskan secara terperinci, Zambry membayangkan lokasi baharu itu tidak akan terletak jauh dari pusat bandar Ipoh agar ia lebih pratikal untuk kegunaan orang ramai.

“Untuk membina (lapangan terbang baharu) di Ipoh, kita tiada kawasan yang sesuai, tiada tanah.

“Pembinaan lapangan terbang baharu ini penting untuk pembangunan masa depan dan lokasi sesuai akan diumumkan kemudian,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Ipoh, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Zambry berkata Perak berpotensi menjadi hab perubatan selain mempunyai peluang untuk dikembangkan sebagai pusat pelancongan perubatan berdasarkan pertemuannya dengan Persatuan Pengamal Perubatan Malaysia Cawangan Perak semalam.

“Kita menerima maklum balas mengenai keadaan sistem kesihatan di negeri ini termasuk cadangan mewujudkan suasana yang baik bagi kemudahan pelancong untuk menjadikan Perak sebagai pusat pelancongan perubatan khususnya dari Indonesia,” katanya.

Bagaimanapun, Zambry berkata antara masalah yang dihadapi untuk merealisasikan hasrat itu adalah LTSAS yang bukan hanya mempunyai keluasan terhad, tetapi syarikat penerbangan yang beroperasi juga tidak banyak.

“Kita akan bincang mencari kaedah paling baik untuk bawa syarikat penerbangan menggunakan lapangan terbang ini agar ramai penumpang menggunakannya.

“Masalah sekarang ialah kekurangan penumpang dari Ipoh ke Medan, tapi dari Medan ke Ipoh ramai. Kita akan bincang perkara ini bagi memastikan syarikat penerbangan tidak rugi,” katanya.

Ketika ini hanya tiga syarikat penerbangan beroperasi di LTSAS iaitu Firefly, Malindo Air dan TigerAir dari Singapura. – Bernama