Penjawat awam perlu punyai kesetiaan dan kebersatuan, kata Najib

 |Apr 21, 2017
Gambar fail kredit Facebook Najib Razak.

Penjawat awam di negara ini perlu mempunyai semangat kesetiaan dan kebersatuan dalam usaha memastikan Malaysia menjadi sebuah negara berjaya, kata Perdana Menteri Najib Razak.

Beliau berkata sejarah memperlihatkan betapa empayar Melaka itu jatuh kerana tiada semangat kesetiaan dan kebersamaan dalam kalangan anggota kerajaannya juga mereka yang bertanggungjawab menyokong barisan kepimpinan empayar itu.

“Prinsip kesetiaan penting, kita sudah angkat sumpah sebagai penjawat awam mendukung kerajaan dipilih rakyat maka kerana itu wajib bagi kita (ada semangat kesetiaan), perkara kedua perlu ada juga ialah semangat kebersatuan sesama kita.

“Kebersatuan dalam erti kata kita ini satu keluarga menuju ke arah satu matlamat…budaya melaga-lagakan antara kita mesti kita hapuskan, kita elakkan,” katanya semasa berucap pada Perhimpunan Bulanan Kerajaan Negeri Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka di Ayer Keroh hari ini.

Turut hadir Ketua Menteri Melaka Idris Haron, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Abu Bakar Mohamad Diah, Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Naim Abu Bakar, barisan Exco Kerajaan Negeri Melaka dan kira-kira 10,000 penjawat awam di negeri ini.

Najib berkata tidak lama dahulu insiden Lahad Datu telah memperlihatkan kepada negara bahawa disebabkan tiadanya kesetiaan, seramai lapan pegawai dan anggota polis terkorban akibat diserang hendap.

“Mereka terbunuh kerana ada seorang rakan mereka memberi maklumat bocor kepada pengganas menyebabkan mereka diserang hendap… lapan orang anggota polis itu terkorban kerana tidak ada kesetiaan dalam kalangan anggota mereka sendiri, “katanya.

Perdana menteri berkata sejarah empayar Melaka juga memperlihatkan bahawa tiadanya kebersatuan dengan perbuatan melagakan Tun Mutahir dengan keluarga Tun Perak, antara lain, telah menyebabkan kejatuhan sebuah empayar yang disanjung tinggi.

Beliau berkata pengasas Alibaba Group, Jack Ma pernah menyatakan kepadanya dua faktor kejayaan ikon bidang teknologi maklumat itu ialah mahukan keberhasilan yang besarĀ  dan kecekapan terbaik.

“Sebab itu dia beritahu kepada saya adakah kita mampu laksanakan zon perdagangan bebas digital pertama di luar China, saya beri persetujuan dalam masa 10 minit sahaja…kita boleh tunjuk kepada rakyat Malaysia kita melangkah ke hadapan, kita bukan calang-calang negara, kita ada cita-cita besar untuk negara kita,” katanya.

Najib berkata dalam merealisasikan cita-cita dan impian besar negara, penjawat awam perlu sampaikan tugas yang dipertanggungjawabkan kepada mereka.

“Sebab itu hari ini saya nak tekankan bila bertemu penjawat awam, bahawa anda perlu tunaikan tanggungjawab sebagai anggota penjawat awam. Jika anda sampaikan dan tunaikan segala rancangan kita, ia akan menjadi kenyataan (kerana) kita ada pelan besar untuk Malaysia,” katanya.

Beliau berkata antara pelan besar yang perlu dilaksanakan itu ialah Rel Berkelajuan Tinggi melalui Ayer Keroh dan penyampaian daripada penjawat awam mampu untuk memastikan pelan sepertinya menjadi kenyataan.

“Kita ada buat banyak projek untuk Melaka, untuk apa? untuk kesejahteraan rakyat negeri Melaka…sebab itulah tuan puan sekalian tak payahlah dengar sangat (dakwaan) pembangkang ,” katanya. – Bernama