Pengarah SPRM bersara awal kerana ‘kecewa’

Jan 3, 2017
Pengarah Bahagian Operasi Khas SPRM Bahri Mohamad Zain memilih untuk bersara awal kerana 'kecewa'. - Gambar kredit Facebook Noor Haslina Abdullah.
Pengarah Bahagian Operasi Khas SPRM Bahri Mohamad Zain memilih untuk bersara awal kerana ‘kecewa’. – Gambar kredit Facebook Noor Haslina Abdullah.

Kekecewaan dilihat menjadi punca mengapa Pengarah Bahagian Operasi Khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Bahri Mohamad Zain memilih untuk bersara awal.

Bahri yang bersara pada Jumaat lepas memberitahu portal berita Free Malaysia Today (FMT) bahawa beliau berasa berdosa kerana kes siasatan SRC International gagal dibawa ke mahkamah.

Bahagian Operasi Khas SPRM yang ditubuhkan pada 2010 bertujuan memberi ruang bagi suruhanjaya itu untuk menyiasat kes rasuah bernilai lebih RM1 juta.

“Bukan sahaja kecewa, malah saya rasa amat berdosa kepada seluruh 30 juta rakyat Malaysia kerana kes SRC tidak boleh dibawa ke mahkamah,” kata Bahri seperti dilaporkan oleh FMT.

Bahri turut mendakwa beliau mendapati SRC telah menyeleweng wang rakyat secara terang-terangan.

Sementara itu, isteri Bahri, Noor Haslina Abdullah memuat naik status di laman Facebooknya yang berbunyi, “Moga Allah melindungi suami saya.”

SRC International merupakan bekas anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang kemudiannya diambil alih oleh Kementerian Kewangan.

Pada Januari 2016, Peguam Negara Mohamed Apandi Ali telah mengembalikan kertas siasatan SRC International serta dana RM2.6 billion yang diterima kepada SPRM.

Mohamed Apandi pada masa itu menjelaskan tindakan itu adalah bertujuan untuk mendapatkan penjelasan daripada SPRM mengenai beberapa cadangan dan tindakan yang disyorkan.