Penganjur ‘Himpunan 355’ perlu patuh undang-undang

Jan 9, 2017
Gambar fail kredit Facebook rasmi Khalid Abu Bakar.
Gambar fail kredit Facebook rasmi Khalid Abu Bakar.

Pihak polis berkata mereka hanya akan membenarkan ‘Himpunan 355’ diadakan di Dataran Merdeka pada 18 Februari ini sekiranya penganjurnya mematuhi semua syarat di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.

Penganjur perlu mematuhi syarat seperti mendapatkan kebenaran pemilik tempat, kata Ketua Polis Negara, Khalid Abu Bakar merujuk kepada perhimpunan yang dilapor di rancang oleh PAS.

“Jika mereka mematuhi semua syarat Akta Perhimpunan Aman, polis akan ‘facilitate’ (mudahkan), tapi jika mereka tidak patuhi syarat-syarat kita akan melarang,” katanya kepada pemberita semasa menghadiri majlis serah terima tugas Komandan Pusat Latihan Polis (Pulapol) di sini hari ini.

Ditanya sama ada penganjur telah membuat permohonan, Khalid berkata setakat ini beliau tidak dimaklumkan mengenai perkara itu.

Pas dilapor mahu mengadakan perhimpunan besar-besaran untuk memberi penerangan kepada orang ramai khususnya umat Islam mengenai pindaan terhadap Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau dikenali sebagai Akta 355. – Bernama