Pendirian dan sikap PAS tidak berubah, kata Nasrudin

 |Mar 30, 2017
Gambar fail kredit Facebook Nasrudin Hassan.

Pengisytiharaan yang dibuat oleh Perdana Menteri Najib Razak bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak akan membentangkan pindaan Rang Undang-undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355 di Parlimen ‘tidak menjejaskan apa-apa bagi pihak PAS’.

Menurut Ketua Penerangan PAS Nasrudin Hassan, situasi sekarang ‘kekal pada format asal’.

“Sememangnya ahli Parlimen PAS sejak awal telah diletakkan dalam ‘mode standby’ bagi menghadapi perbahasan di parlimen,” katanya di dalam satu kenyataan hari ini.

“Hanya beza jika kerajaan BN bentang maka ia menjadi Bill Kerajaan yang diutamakan angka gilirannya. Jika PAS yang membentangnya maka ia kekal seperti asal iaitu Rang Undang-Undang Persendirian maka gilirannya ditentukan oleh Yang di Pertua Dewan Rakyat melalui peruntukan peraturan dewan,” katanya.

Najib, malam tadi berkata RUU tersebut akan kekal menjadi RUU persendirian dan menyerahkan kepada YDP Dewan Rakyat Pandikar Amin Mulia unntuk menentukan kedudukan RUU itu.

Nasrudin, dalam mengulas perkembangan ini menegaskan sikap dan pendirian PAS tidak berubah.

Berhubung kenyataan Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi yang sebelum ini pernah berkata kerajaan BN akan membentangkan pindaan itu, Nasrudin berkata kenyataan itu dilihat sebagai pilihan yang boleh diguna pakai bagi mengurus status dan format pindaan Akta 355.

Namun, katanya, PAS tidak menyatakan sikap rasminya kepada umum dan parti itu juga tidak pernah berunding dan mengumumkan untuk tidak membentangkan pindaan akta tersebut.

Nasrudin mendakwa pihak musuh politik PAS mencetus propaganda bahawa PAS ditipu BN kerana setelah sekian parti Islam itu berusaha membawa pindaan tersebut ke Parlimen dan mengorbankan segalanya, BN kelihatan ingin ‘take over’ (mengambil alih).

Berhubung pengumuman BN malam tadi, Nasrudin mendakwa sekali lagi musuh politik PAS mencaras kononnya PAS menjadi mangsa dipermainkan Umno dan BN.

“Entahlah mana satu yang betul?

“Jika PAS bentang, mereka kata PAS diperalat oleh Umno dan BN, kenapa tidak kerajaan BN sahaja yang membentangnya ke parlimen? Bukankah UMNO menyokong? Maka sepatutnya BN yang bentang, bukan PAS.

“Apabila TPM umum kerajaan BN yang akan bentang Pindaan Akta 355, mereka juga ‘meloncat tidak ketahuan punca’ kononnya PAS kena kencing oleh UMNO. Pada mereka, serba tidak kena,” katanya.

Nasrudin menegaskan PAS tiada masalah siapa yang membentangkan pindaan tersebut kerana apa yang penting Akta 355 ‘mesti dan berjaya dipinda’.

“Insya-Allah, PAS akan meneruskan langkahnya menuju destinasi dengan langkahan bergaya tanpa tempang. Maka PAS sedia untuk bentang Pindaan Akta 355 dan terus bersedia untuk membentang dan membahaskannya pada bila – bila masa,” tambah Nasrudin.

RUU 355 mula sekali dibentangkan Presiden PAS Abdul Hadi Awang di Parlimen pada Mei tahun lalu bagi memperkasakan mahkamah syariah.