Penaja lari, Konsert Gala Pelarian tetap diteruskan

 |Aug 3, 2017
Datuk Ramli Sarip. – Foto MO Azrol Ali.

KUALA LUMPUR: Konsert Gala Pelarian bagi mengumpul dana meringankan penderitaan etnik Rohingya di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 25 Ogos ini tetap diteruskan walaupun penaja menarik diri di saat akhir.

Perkara tersebut diumumkan ikon rock, Datuk Ramli Sarip yang menjelaskan konsert berkenaan pada asalnya dijadualkan untuk berlangsung selama dua hari iaitu pada 25 dan 26 Ogos ini.

Menurutnya, atas penarikan diri penaja, konsert tersebut akan tetap diteruskan tetapi hanya satu hari di tempat yang sama pada 25 Ogos.

“Terlalu panjang untuk diperjelaskan tetapi perjuangan perjalanan kami harus diteruskan. Penaja menarik diri di saat akhir dengan alasan masalah dalaman mereka walaupun surat perjanjian penajaan ada dan telah ditandatangani.

“Semasa dalam sidang akhbar pertama bagi menguar-uarkan tentang konsert ini, saya siap bergambar dengan wakil penaja beserta produknya. Itu boleh dianggap sebagai satu bentuk publisiti bagi pihak mereka dan produk mereka,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau yang terkilan dengan penarikan diri penaja itu nyata positif dan mahukan konsert tersebut berjalan dengan lancar, damai dan telus.

Ramli berkata, sebanyak 200 kerusi tambahan dengan harga berpatutan akan disediakan kepada penonton susulan konsert yang diadakan sehari sahaja.

Katanya, jualan tiket yang diterima setakat ini amat mengalakkan dan mendapat sokongan padu daripada PWTC dan Perodua yang turut menawarkan sebuah kereta Perodua Axia sebagai hadiah cabutan bertuah.

Konsert Gala Pelarian akan menampilkan Ramli dan Ella sebagai penghibur utama, manakala Raihan dan Pekin Ibrahim sebagai artis undangan.

Menurutnya, dana yang dikutip akan disalurkan ke Tabung Pertubuhan Rohingya Malaysia untuk pelbagai tujuan termasuk perbelanjaan harian, makan minuman, pendidikan dan sebagainya. – MO

SHARE