Pemimpin Pakatan Harapan harus meminta maaf daripada Najib dan keluarga – Ramesh Rao

 |Jan 7, 2017
Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin Ramesh Rao.
Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin Ramesh Rao.

Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP) mengesa semua parti dalam Pakatan Harapan (PH) memohon maaf daripada Perdana Menteri Najib Razak dan keluarga berikutan dakwaan dan tuduhan mereka yang tidak berasas kepada beliau.

Presiden PMSP, Ramesh Rao berkata dalam isu syarikat pelaburan strategik negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB), sudah dibuktikan bahawa dakwaan mereka tidak ada bukti yang kukuh menunjukan Najib terlibat malahan ia juga tidak ada asas langsung.

“Seluruh ahli, PKR, DAP, Amanah dan Parti Pribumi perlu mohon maaf daripada Najib dan keluarga kerana menuduh tanpa bukti dalam isu 1MDB,” tegas Ramesh dalam satu kenyataan hari ini dari Petaling Jaya.

Beliau berkata kes berkenaan turut disiasat oleh pihak Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dan sudah sudah disahkan Najib tidak terlibat dalam sebarang unsur jenayah.

Perkara itu disahkan oleh timbalan pengerusi PAC iaitu ahli parlimen DAP-Kepong, Dr Tan Seng Giaw kepada media selepas pihak PAC membentangkan laporan akhir mereka dalam siasatan kes itu.

“Ahli parlimen DAP Kepong mengesahkan tiada bukti penyelewengan dalam 1MDB dan Najib tidak bersalah,” katanya.

Ramesh berkata tindakan PH menggunakan Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat (AS) untuk mencipta kes melalui satu tindakan saman sivil berkaitan dana 1MDB namun ia gagal kerana DOJ tidak pernah menamakan Najib dalam siasatan mereka.

Mereka cuba memanipulasi keadaan dengan menyatakan bahawa Malaysian Official 1 di dalam saman itu ialah Najib yang merupakan dalang utama.

“Bagaimanapun setakat ini, tidak ada bukti dan DOJ tidak pernah menamakan nama perdana menteri sebagai defendan disiasat dalam kes itu.

“Kita juga ada maklumat bahawa pihak DOJ sudah menggugurkan kes ke atas 1MDB seperti yang diumumkan mereka sebelum ini,” katanya.

Selain itu, Ramesh juga mengingatkan rakyat Malaysia bahawa kes berkaitan 1MDB menggunakan laporan palsu yang sudah diubahsuai oleh pihak Sarawak Report selepas dokumen rahsia dicuri oleh bekas kakitangan PetroSaudi International (PetroSaudi) Xavier Andre Justo untuk mengugut majikannya.

“Sarawak Report terbukti mengubahsuai dokumen asal,” kata Ramesh dalam kenyataan itu.

Difahamkan tidak lama lagi Justo akan diekstradisi ke Malaysia untuk membantu polis dalam siasatan kes yang sama kerana negara Malaysia turut ada kaitan.

“Oleh itu, pemimpin PH mesti memohon maaf daripada Najib kerana sudah mengaibkan beliau dan keluarga Perdana Menteri dengan membuat dakwaan tidak benar serta tiada asas,” kata beliau.

SHARE
Murali is a contributor to MO. He advocates the principle of practising human rights with responsibility.