‘Pembangkang tidak berani hapuskan GST’

 |May 12, 2017
Gambar kredit www,najibrazak.com.

Berikut adalah ucapan Perdana Menteri Najib Razak mengenai pusingan-U pembangkang berkenaan GST seperti yang dimuat naik di laman www.najibrazak.com.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Dan Salam 1Malaysia.

Rakyat Malaysia yang dikasihi,

Baru-baru ini beberapa pemimpin pembangkang menyatakan bahawa mereka nak hapuskan GST.

Percayalah pembangkang sebenarnya, ingin memberhentikan separuh daripada penjawat awam, guru, doktor, anggota keselamatan, pembinaan sekolah, masjid, jalan raya, hospital, perkhidmatan kesihatan dan perkhidmatan asas awam sekiranya mereka memerintah.

Realitinya, sejak tahun 2015, hasil tahunan negara telah jatuh sebanyak lebih kurang RM40 bilion berikutan kejatuhan harga minyak.

Tanpa jumlah ini dalam bajet tahunan, kerajaan memang tidak mampu membayar gaji penjawat awam, menyediakan sekolah, hospital baharu dan membiayai anggota keselamatan negara.

Mujurlah sistem GST diperkenalkan, iaitu sistem yang menggantikan cukai SST sedia ada.

Dulu pun sebenarnya cukai ada, tetapi tidak didedahkan oleh sebilangan peniaga, membolehkan mereka menetapkan kadar sesuka hati, manakala sistem GST memaklumkan kepada pengguna dengan jelas kadar 6 peratus.

Sistem GST lebih sistematik dan digunakan lebih 140 buah negara di dunia ini. Kecekapan GST meningkatkan perolehan dan telah membolehkan perkhidmatan awam diteruskan dan ekonomi kita tidak ranap akibat kejatuhan harga minyak.

Pembangkang tahu GST menggantikan penurunan hasil minyak. Jadi apabila mereka membuat pusingan-U, untuk mengekalkan GST, penyokong mereka rasa terpedaya.

Jadi mereka tergesa-gesa ingin menurunkan kadar 6 peratus ke 0 peratus. Tindakan ini tidak masuk akal kerana apa guna adanya sistem yang canggih ini kalau tiada cukai yang dikutip?

Mengapa tidak berani hapuskan terus sistem ini secara keseluruhannya?

Sebenarnya pembangkang tidak berani hapuskan sistem GST agar mereka mempunyai pilihan untuk meningkatkan kadarnya di masa hadapan. Jelas di sini pembangkang akan meneruskan GST jadi terpaksa memperdayakan rakyat demi memenangi pilihan raya.

Sekian sahaja dari saya.

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

SHARE