Pembangkang diminta henti keluarkan fakta mengelirukan projek Rapid

 |Mar 20, 2017
Gambar fail kredit Facebook Dato’ Abdul Rahman Dahlan.

Pembangkang diminta berhenti daripada mengeluarkan fakta mengelirukan mengenai kerjasama strategik antara Saudi Aramco dengan Petronas dalam projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (Rapid) di Johor.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Abdul Rahman Dahlan berkata kenyataan tersebut bukan hanya tidak tepat malah boleh menyebabkan pelabur luar memandang rendah kepada negara ini.

“Sebab itu saya katakan, baca, jangan kutip cerita-cerita di tepi jalan…saya mahu beritahu pembangkang ini, baca (maklumat mengenai projek itu) dalam website Petronas dan buat research, supaya tidak akan keluar statement sebegitu.

Your fakta semua berterabur. Inilah yang membimbangkan kita kalau kenyataan seperti ini keluar dari pembangkang, ia akan menyebabkan pelabur luar negara kata kita (Malaysia) ini ‘pariah’,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Dr Ko Chung Sen (DAP-Kampar) pada sesi jawab lisan persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Katanya, kenyataan mengelirukan itu termasuklah tuduhan bahawa perjanjian strategik itu akan lebih menguntungkan Saudi Aramco dan merugikan Petronas serta kononnya projek itu menjual kepentingan negara dalam projek Rapid.

“Saya hendak jelaskan keseluruhan projek ini dinamakan Kompleks Petroleum Antarabangsa Pengerang (PIPC) dan di dalamnya mempunyai komponen Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC) dan inilah yang bernilai RM27 bilion.

“Kemudian dalam PIC pula ada komponen Rapid yang ada kerjasama antara Saudi Aramco dan Petronas, jadi tidak betul bila Yang Berhormat menuduh bahawa pelaburan yang Saudi Aramco buat dalam RAPID itu adalah 50 peratus dalam PIPC, sebab pelaburan itu hanya dalam komponen RAPID,” kata Abdul Rahman.

Terdahulu, menjawab soalan asal Ko yang ingin tahu status pembinaan dan anggaran kos projek itu, beliau berkata sehingga kini keseluruhan projek PIC merangkumi projek Rapid telah siap 60 peratus dan dijangka siap dan mula beroperasi pada 2019.

Dalam pada itu, Abdul Rahman menjelaskan keputusan Saudi Aramco melabur dalam projek Rapid di Pengerang adalah satu pengiktirafan kepada usaha dibuat Petronas dan juga hubungan baik kedua-dua negara.

“Saya percaya, banyak lagi kelebihan ekonomi yang boleh dikongsi warga Malaysia dengan negara Arab Saudi untuk manfaat kedua-dua buah negara pada masa hadapan.

“Di samping itu, ia adalah penanda aras kepada keyakinan pelabur luar terhadap ekonomi negara dan juga terhadap kepakaran dan kebolehan insan anak tempatan kita,” katanya.- Bernama