Pelantikan Saifuddin: Harakah sifatkan DAP tabur dedak

Jan 6, 2017
Saifuddin Nasution Ismail dilantik penasihat strategik Ketua Menteri Pulau Pinang. - Gambar fail kredit Facebook Saifuddin Nasution Ismail.
Saifuddin Nasution Ismail dilantik penasihat strategik Ketua Menteri Pulau Pinang. – Gambar fail kredit Facebook Saifuddin Nasution Ismail.

Laman rasmi parti PAS, Harakah Daily hari ini menyifatkan pelantikan Saifuddin Nasution Ismail dari PKR sebagai penasihat strategik Ketua Menteri (KM) Pulau Pinang Lim Guan Eng (LGE) umpama menabur dedak.

Di dalam sebuah artikel diterbitkan hari ini, Harakah Daily mendakwa pelantikan tersebut merupakan bukti penunjuk kepada matlamat ingin dicapai DAP.

“Dengan kelebihan sebagai kerajaan, DAP menggunakan kesempatan itu memberikan jawatan bagi menggerakkan misinya. Itulah ‘dedak’ yang ditabur supaya individu atau pihak dilantik akan terikat,” katanya.

Penulis komentar tersebut berpandangan bahawa sekiranya jawatan itu penting dan perlu, jawatan tersebut sepatutnya wujud selepas pilihanraya umum (PRU) ke-13.

“Tetapi ia bukan sahaja wujud menghampiri hujung penggal atau PRU14 semakin dekat, malah setelah LGE sendiri telah mengumumkan pengganti jawatan KM itu,” katanya lagi, merujuk kepada pengumuman bahawa sekiranya apa-apa terjadi, pengganti jawatannya sebagai Ketua Menteri adalah Chow Kon Yeow.

“Bermakna jawatan itu bukan untuk kepentingan rakyat, tetapi bermotif kepartian.”

Harakah Daily turut mendakwa PKR walaupun secara rasmi kini bersama DAP dan parti Bersatu di dalam Pakatan Harapan, tetapi masih menunjukkan ‘sayang dan rindu’ kepada PAS.

Berlandaskan kebimbangan itu, ini mendesak DAP membuat tindakan ‘strategik’ mengikat Saifuddin yang sebelum ini dilantik setiausaha agung PKR.

“Secara halusnya, Saifuddin akan menjadi sekurang-kurangnya sebagai ‘penimbang tara’ terhadap kepentingan DAP di dalam keputusan PKR dan mengukuh dalam koalisi PH – Bersatu.”

Terdahulu, bercakap kepada Malaysiakini, naib presiden PKR Rafizi Ramli mempertahankan pelantikan Saifuddin dengan menyatakan bahawa perkara itu telah dibincangkan berbulan yang lalu bersama presiden PKR Wan Azizah Wan Ismail dan juga bekas ketua pembangkang Anwar Ibrahim.

Membidas kegusaran bahawa perkara itu mungkin menimbulkan konflik kepentingan, Rafizi berkata Saifuddin dilantik sebagai penasihat LGE dan kerajaan Pulau Pinang, dan bukannnya DAP.