Pelan strategik industri angkasa bakal diwujud

 |Mar 22, 2017
Mosti akan terus memperkukuhkan kerjasama dan jaringan hubungan antarabangsa dalam sektor angkasa, kata timbalan menterinya. – Gambar fail kredit www.rgbstock.com.

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) akan mewujudkan pelan strategik industri angkasa bagi menggerakkan industri angkasa tempatan.

Timbalan Menterinya Dr Abu Bakar Mohamad Diah berkata pelan itu akan dibangunkan bersama Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri melalui Pejabat Penyelarasan Industri Aeroangkasa Kebangsaan (Naico).

“Di samping itu juga, penyelidikan dan pembangunan (R&D), infrastruktur dan pembangunan kepakaran akan diperkasa bagi menyokong hasrat negara ini menjadi sebuah negara yang berpaksikan sains, teknologi dan inovasi.

“Mosti juga akan terus memperkukuhkan kerjasama dan jaringan hubungan antarabangsa dalam sektor angkasa,” katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Julian Tan Kok Ping (DAP-Stampin) yang ingin tahu mengenai rancangan kerajaan terhadap Dasar Angkasa Negara dan status perkembangan, objektif projek dan penyelidikan berkaitan inisiatif itu.

Sementara itu, Dr Abu Bakar berkata Mosti turut menjalankan projek penyelidikan menjurus kepada pembangunan teknologi dan aplikasi angkasa yang mempunyai impak signifikan kepada negara.

Menurutnya penyelidikan itu memberi fokus kepada tiga bidang utama iaitu merangkumi komunikasi, penderiaan jauh dan navigasi.

“Gabungan ketiga-tiga bidang ini dapat membantu dan menyumbang kepada keupayaan dan keperluan kritikal negara seperti perancangan dan pengurusan sumber asli dan alam sekitar, ramalan cuaca dan iklim, operasi mencari dan menyelamat, pengurusan bencana dan keselamatan,” katanya.- Bernama