Pelakon Wafa Abd Kadir sangkal dakwaan hidap kanser usus

 |Feb 1, 2017
Gambar fail kredit Harian Metro.
Gambar fail kredit Harian Metro.

Berikutan laporan terdahulu yang mengatakan beliau mengidap kanser usus, pelakon Wafa Abd Kadir tampil memberi penjelasan.

Bercakap kepada Berita Harian Online, Wafa berkata khabar angin bahawa beliau baru-baru ini kritikal dan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) akibat kanser usus adalah tidak benar.

“Saya juga bukan menghidap kanser usus, tetapi kanser peritoneal yang juga susulan daripada diagnosis pertama, iaitu kanser ovari,” Wafa dipetik berkata oleh Berita Harian.

Pada April 2015, Wafa disahkan menghidap kanser ovari tahap empat, namun setelah menjalani pembedahan membuang ovari, tiub fallopio, rahim dan ormentum, beliau kembali sihat.

Pada awal tahun lepas, beliau disahkan menghidap kanser peritoneal.

“Baru-baru ini, selepas menjalani beberapa ujian, kanser itu merebak ke bahagian bawah abdomen sehingga membuatkan saya tidak boleh duduk atau berjalan lama. Doktor bimbang kerana kanser yang saya alami ini sangat kuat dan ia mungkin akan mengganggu organ lain,” katanya kepada Berita Harian.

Terdahulu, beberapa rakan artis memuatnaik status di media sosial berhubung keadaan kesihatan Wafa.

Pelakon Sheila Mambo menerusi Instagramnya berkata Wafa sedang kritikal akibat kanser usus.

Namun, muat naik tersebut kemudian tidak dapat ditemui dan diganti dengan maklumat terbaru, “Wafa dikabarkan telah pulang ke rumah untuk berehat setelah menjalani kimoterapi dan akan kembalik melanjutkan rawatannya selepas raya Cina. Syafakillah.”

Wafa dikenali menerusi filem seperti Azizah the Legend dan juga drama Gerak Khas.

Beliau merupakan isteri kepada jurutera Tajul Tamimuddin dan adalah anak kepada bekas mufti Wilayah Persekutuan Abdul Kadir Taib.

SHARE