Pelakon Malaysia ditahan bawa dadah di Medan

 |Apr 21, 2017
Gambar fail.

Seorang pelakon lelaki negara ditahan polis Indonesia selepas disyaki membawa dadah ketika memasuki Kota Medan, Sumatera Utara melalui Lapangan Terbang Kualanamu, 18 April lepas.

Media dalam talian memetik Ketua Pengawasan dan Pelayanan Kastam dan Cukai Lapangan Terbang Kualanamu, Zaky Firmansayah sebagai berkata semalam bahawa pelakon tersebut ditahan dua hari lepas setelah pihak berkuasa di lapangan terbang itu membuat pemeriksaan badan terhadapnya.

Beliau berkata setelah membuat pemeriksaan bahagian duburnya, mereka menemui dua paket dadah sintatik yang dipercayai syabu seberat 14 gram.

Katanya, pelakon berusia 38 tahun itu mendakwa memasuki Kota Medan untuk bertemu dengan seorang rakannya yang bekerja sebagai juruhebah.

Sementara itu Atase Polis Diraja Malaysia di Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia Abu Bakar Yaacob ketika dihubungi Bernama mengesahkan kejadian itu dan berkata pelakon itu kini ditahan polis Medan bagi siasatan lanjut.

“Kami telah menerima laporan mengenai tangkapan pelakon itu dan dimaklumkan mengenai penahanannya,” kata beliau.

Abu Bakar berkata suspek diitahan pada 9.30 malam ketika tiba di lapangan terbang berkenaan dengan menaiki sebuah pesawat tambang murah dari Kuala Lumpur.

Pelakon itu sebelum ini pernah didakwa beberapa kali berkaitan kes dadah di Malaysia sejak 2015. – Bernama

SHARE