Pelajar tingkatan enam cedera terkena kipas siling terjatuh

 |Jul 13, 2017
Gambar kredit Facebook Kemalangan Extreme.

KUALA LUMPUR: Seorang pelajar tingkatan enam dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St Michael di Ipoh berdepan detik cemas selepas kipas jatuh dari siling bumbung kelasnya, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu, mangsa, Sam Ming Hui, 18, yang berada di tempat duduknya, terkejut apabila kipas yang berada di atas siling tiba-tiba jatuh di sisinya dan mengenai mukanya sehingga berdarah.

“Ketika itu, guru sedang mengajar subjek Pengajian Am dan tiba-tiba kipas terjatuh di sebelah meja.

“Ia berlaku dengan pantas, saya terkejut dan tergamam, saya berasa sakit dan meletakkan tisu pada muka bagi menahan darah keluar,” katanya, memetik laporan Berita Harian.

Susulan kejadian itu, mangsa mengalami luka kira-kira lima sentimeter pada bahagian pipi kiri dan menerima rawatan di sebuah hospital swasta di Ipoh.

Sementara itu, pengetua sekolah berkenaan, T Gunalan berkata, juruelektrik yang memeriksa kejadian itu mendapati pengikat skru kipas berkenaan patah.

Menurutnya, kejadian tersebut adalah pertama kali berlaku di sekolah tersebut dan pihaknya tidak pernah mengambik ringan aspek keselamatan sekolah serta sering menjalankan pemeriksaan penyelenggaraan. – MO