Pejabat Tourism Malaysia seluruh negara ditutup elak pertindihan kerja

 |Jan 23, 2017
Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Mohamed Nazri Abdul Aziz. - Gambar fail kredit The Rakyat Post.
Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Mohamed Nazri Abdul Aziz. – Gambar fail kredit The Rakyat Post.

Semua pejabat Tourism Malaysia di seluruh negara ditutup berkuat kuasa serta-merta bagi mengelak pertindihan kerja dengan agensi negeri dalam mempromosi pusat pelancongan di negara ini.

Semasa mengumumkan perkara itu, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, penutupan semua 14 pejabat pelancongan itu tidak melibatkan pemberhentian kakitangan, sebaliknya mereka akan diserap ke ibu pejabat kementerian dan jabatan lain.

Beliau berkata, langkah itu dijangka mampu menjimatkan kos kira-kira RM6 juta setahun yang boleh digunakan untuk perbelanjaan lain.

“Setiap negeri mempunyai exco pelancongan dan Unit Perancangan Ekonomi Negeri (Upen) masing-masing, jadi kita tidak mahu tugas agensi itu dengan pihak berkuasa pelancongan negeri bertindih,” katanya selepas merasmikan Sambutan Tahun Baharu Cina dan Ulang Tahun Pertama Freeport A’Famosa Outlet hari ini.

Turut hadir Timbalan Menterinya Mas Ermieyati Samsuddin dan Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Abdul Ghaffar A Tambi serta Pengarah Urusan Kumpulan A’Famosa Alex Lau.

Nazri berkata, walaupun semua pejabat Tourism Malaysia negeri ditutup, kementerian akan menyediakan 5 pejabat informasi di beberapa negeri.

Pejabat berkenaan akan disediakan di Pulau Pinang bagi kawasan utara, Terengganu bagi kawasan timur, Johor bagi kawasan selatan serta di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu bagi Sabah dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching bagi Sarawak.

Pada 14 Januari lalu, kementerian mengumumkan 4 pejabat Tourism Malaysia di luar negara, iaitu New York di Amerika Syarikat, Perth di Australia, Stockholm di Sweden dan Johannesburg di Afrika Selatan ditutup serta-merta tahun ini.

Ini berikutan pemberhentian perkhidmatan penerbangan Malaysia Airlines Bhd (MAB) ke kawasan berkenaan.