Pejabat MB Kedah nafi keluarkan senarai calon PRU

 |Mar 13, 2017
Gambar fail kredit The Rakyat Post.

Pejabat Menteri Besar Kedah hari ini menafikan ada mengeluarkan senarai calon untuk Pilihan raya Umum (PRU) akan datang seperti yang tular melalui aplikasi WhatsApp baru-baru ini.

Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Kedah Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata sebagai sebuah parti yang mempunyai sistem dan tatacara dalam menentukan apa jua keputusan, penghantaran sebarang senarai atau keputusan penting, tentunya tidak akan menggunakan aplikasi itu.

“Bagi saya ia adalah tindakan tidak matang pihak-pihak tertentu yang sekadar mahu mencipta sensasi dan mewujudkan kekalutan dalam suasana politik negeri,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Mesej yang tular itu menyenaraikan kononnya calon awal Barisan Nasional Kedah bagi 15 kerusi Parlimen dan 36 kerusi DUN untuk PRU ke-14. – Bernama