PAS sokong ketegasan kerajaan tangani kes pembunuhan warga Korea Utara

 |Feb 27, 2017
Gambar fail kredit Facebook Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang.

PAS menyatakan sokongan di atas ketegasan pihak berkuasa negara Malaysia, terutamanya Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Luar dalam menangani kes pembunuhan warga Korea Utara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (Klia2).

Presiden parti Abdul Hadi Awang di dalam satu kenyataan berkata PAS ‘senada bahawa siasatan kes jenayah berkenaan semestinya dilaksanakan dengan merujuk pada undang-undang dan tatacara yang ada dalam negara di mana kes pembunuhan itu berlaku’.

“PAS melihat isu ini mempunyai sudutnya yang tersendiri apabila wujudnya cubaan campur tangan dari pihak Korea Utara menerusi perwakilan mereka di Malaysia yang boleh memburukkan lagi suasana hubungan diplomatik yang ada pada waktu ini, sebagaimana yang dilaporkan oleh media massa dalam dan luar negara.

“PAS secara konsisten memperjuangan kedaulatan Malaysia dari sebarang pencerobohan dan gangguan dari mana-mana pihak.

“Isu geo-politik dan percaturan dalaman negara yang dikatakan terlibat adalah tidak wajar menjadi alasan mana-mana pihak dari Korea Utara untuk mengganggu siasatan yang sedang dijalankan secara bebas dan profesional oleh pihak PDRM,” kata Abdul Hadi.

Pada 13 Feb lalu, seorang lelaki yang memegang passport Korea Utara tertera nama Kim Chol, dibunuh di Klia2.

Media asing mengenalpasti lelaki tersebut sebagai Kim Jong-nam, abang kepada pemimpin Korea Utara Kim Jong-un.

Duta Korea Utara ke Malaysia Kang Chol kemudiannya telah mempertikaikan siasatan yang sedang dijalankan oleh pihak PDRM.

Kang Chol turut mendakwa Malaysia menyembunyikan sesuatu dan bersekongkol dengan kuasa luar berhubung kes pembunuhan tersebut.