Orang Melayu patut bimbang jika DAP dapat jawatan TPM, kata Syed Ali

 |Jan 20, 2017
Syed Ali Alhabshee berkata jika wakil DAP menjadi TPM, beliau bimbang ia akan memberi kesan kepada masa depan orang Melayu. - Gambar fail kredit umnobahagiancheras.blogspot.my.
Syed Ali Alhabshee berkata jika wakil DAP menjadi TPM, beliau bimbang ia akan memberi kesan kepada masa depan orang Melayu. – Gambar fail kredit umnobahagiancheras.blogspot.my.

Ketua Umno Bahagian Cheras Syed Ali Alhabshee bimbang akan kesan terhadap masa depan orang Melayu sekiranya wakil DAP menjadi timbalan perdana menteri.

Mengulas mengenai pendedahan bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad yang berkata DAP ada meminta jawatan timbalan, Syed Ali berkata orang Melayu patut bimbang kerana ‘tingkahlaku pemimpin DAP sebelum ini banyak melukai hati umat Islam di negara ini’, sambil bertegas kebimbangan itu bukan berpaksi di atas soal perkauman.

Beliau turut mendakwa bahawa teras perjuangan DAP hanya mengutamakan kepentingan satu kaum sahaja.

“Ini bukan soal perkauman atau untuk menakut-nakutkan sesiapa, tetapi jika wakil DAP jadi TPM, saya bimbang akan memberi kesan kepada masa depan orang Melayu,” tegasnya di dalam satu kenyataan di laman blognya semalam.

Berkata walaupun jawatan TPM bukan ditetapkan untuk orang Melayu, beliau mendakwa tradisi itu yang selama ini menjadikan Malaysia negara harmoni di mana rakyat pelbagai kaum hidup aman damai.

“Tradisi yang baik apabila dirombak kerana memenuhi agenda peribadi kebiasaannya hanya akan mendatangkan kesan tidak baik dan tidak boleh diterima umum,” katanya.

Di Putrajaya pada hari Rabu, Mahathir menegaskan bahawa DAP tidak pernah meminta jawatan perdana menteri sekiranya Pakatan Harapan (PH) berjaya menawan tampuk pemerintahan negara pada pilihan raya umum akan datang.

Walaubagaimanapun, pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Pribumi) itu berkata mereka ada meminta jawatan timbalan.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng kemudian bertindak menafikan pendedahan Mahathir dan berkata mereka tidak pernah meminta jawatan tersebut.

Syed Ali, di dalam mengulas pendedahan Mahathir dengan lebih lanjut menbangkitkan isu pemimpin DAP yang didakwanya sebelum ini pernah mempertikaikan kedudukan orang Melayu, bahasa kebangsaan dan Islam sebagai agama rasmi.

“Sekarang DAP tuntut kerusi TPM, jadi orang Melayu terutama yang pro-pembangkang perlu mengambil peringatan dan berwaspada,” tegasnya.

Beliau yang juga merupakan Setiausaha Badan Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan turut menegaskan bahawa Umno akan ‘memastikan impian DAP untuk menduduki kerusi TPM hanya tinggal angan-angan’.

“Saya nak ingatkan blok pembangkang, janganĀ  kerana mahu mengharap undi orang Cina (DAP), maka jawatan TPM sanggup tawarkan kepada mereka,” katanya lagi sambil mengingatkan parti pembangkang, terutama Amanah, PKR dan Pribumi untuk tidak bermain dengan sentimen kaum untuk memenangi PRU14.

Terdahulu, bekas naib pengerusi DAP Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim mendakwa DAP dan Pribumi telah membuat pakatan rahsia untuk menjadikan Mukhriz Mahathir sebagai PM dan penasihat DAP Lim Kit Siang sebagai TPM sekiranya PH menawan Putrajaya pada PRU14.

Lim kemudiannya menafikan perjumpaan tersebut berlaku manakala Mukhriz menggesa Tunku Abdul Aziz mendedahkan sumber maklumatnya atau berhadapan dengan tindakan undang-undang.

Tunku Abdul Aziz juga telah mencabar Mukhriz dan Lim untuk membuat pengakuan bersumpah (SD) menafikan mereka mempunyai cita-cita untuk menjadi perdana menteri dan timbalan perdana menteri.

SHARE