Nombor plat khas US ‘Untuk Seniman’

 |Jul 14, 2017
Presiden Seniman, Zed Zaidi dan Ketua Pengarah Finas, Datuk Fauzi Ayob menunjukkan plat pendaftaran US 4. – Gambar kredit Facebook Finas.

KUALA LUMPUR: Nombor plat pendaftaran kenderaan khas yang dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kepada Persatuan Seniman kini dibuka tawaran bidaannya hingga 20 Ogos ini.

Nombor plat khas menggunakan huruf US yang membawa maksud ‘Untuk Seniman’ itu dibuka bidaan kepada orang ramai bermula esok.

Setiausaha Agung Seniman, Hafiz Nafiah berkata, hasil daripada bidaan ini akan digunakan untuk menjalankan aktiviti persatuan dan kebajikan ahli Seniman.

“Seniman menyifatkan ini adalah salah satu inisiatif dan juga cara kerajaan membantu dalam soal mencari dana untuk aktiviti tanggungjawab sosial kepada masyarakat mahupun kebajikan ahli-ahli Seniman khususnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Peminat nombor pendaftaran khas boleh mengambil borang bidaan di pejabat Sekretariat Plat US atau memuat turun borang di www.platus.my

Selepas tender ditutup pada 20 Ogos depan, pembida yang berjaya boleh mendaftarkan nombor tersebut seawal 1 Oktober atau selepas mendapatkan kelulusan pewartaan daripada pihak JPJ. – MO