Najib ucap selamat Tahun Baharu Cina

 |Jan 26, 2017
Gambar kredit najibrazak.com.
Gambar kredit najibrazak.com.

Perdana Menteri Najib Razak di dalam perutusan Tahun Baharu Cina menyeru kepada semua untuk menggunakan peluang musim perayaan seperti ini untuk mengeratkan hubungan sebagai rakyat Malaysia.

“Kita bertuah boleh menyambut Tahun Baharu Cina dan juga pelbagai perayaan lain bersama-sama sebagai rakyat Malaysia kerana kita hidup secara harmoni dan saling hormat menghormati,” katanya di dalam mesej yang dikongsi di blog najibrazak.com.

“Kita percaya kaum Cina mahukan Malaysia yang lebih baik dan makmur untuk semua anak-anak kita. Ini boleh dicapai jika kita teguh dan bersatu sebagai sebuah negara, jika kita tumpukan usaha dan tenaga demi kebaikan negara sambil terus menyelesaikan perbezaan dan cabaran antara kita.

“Bersama, kita boleh mencapai tahap lebih tinggi untuk Malaysia yang lebih berjaya, maju dan harmoni,” katanya.

Sebelum itu, Perdana Menteri berkata beliau sentiasa mengkagumi tradisi makan besar sempena Tahun Baharu Cina yang telah lama diamalkan masyarakat kaum itu.

Tradisi itu katanya bukan sekadar menjamu selera, tetapi merupakan masa yang digunakan untuk meraikan warga tua dan mengeratkan tali persahabatan.

“Saya mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina dan Tahun Ayam yang makmur untuk semua rakyat Malaysia, terutamanya kaum Cina,” ucap Najib yang mengakhiri mesejnya dengan, “Gong Xi Fa Cai.”