Najib beri jaminan beri maklumat terkini isu Korea Utara semasa lawatan di India

 |Mar 30, 2017
Gambar fail kredit najibrazak.com.

Perdana Menteri Najib Razak memberi jaminan beliau akan tetap memantau dan memberikan maklumat terkini tentang situasi warga Malaysia di Korea Utara dan kes bunuh Kim Jong-nam malah semasa beliau melakukan lawatan rasmi lima hari ke India bermula hari ini.

“Dalam dunia moden kini, anda tidak perlu secara fizikal (berada) di sini. Saya akan berikan arahan malah semasa saya berada dalam pesawat. Mereka (pihak berkuasa) tahu bagaimana untuk menghubungi saya 24 jam kerana saya boleh dihubungi pada bila-bila masa. Saya telah berikan garis panduan, arahan yang perlu, dan mereka tahu apa yang perlu dilakukan.

“Kami prihatin mengenai mereka (warga Malaysia di Korea Utara). Mereka menjalani kehidupan seperti biasa di sana. Tetapi mereka ini (rakyat Malaysia diculik kumpulan militan Abu Sayyaf) adalah berbeza, (mereka) didera secara fizikal dan mental selama lapan bulan.

“Bayangkan.., mereka nyaris dipenggal. Jadi mereka telah melalui pengalaman ngeri,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan tiga rakyat Malaysia yang menjadi mangsa culik kumpulan militan Abu Sayyaf di kediamannya di Taman Duta, di Kuala Lumpur, hari ini.

Perdana menteri ditanya tentang situasi terkini berhubung warganegara Malaysia — tiga diplomat dan enam anggota keluarga di Pyongyang, dan sama ada media boleh mendapatkan maklumat terkini jika beliau tiada di dalam negara.

Sementara itu, Najib turut merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Presiden Filipina Rodrigo Duterte yang secara peribadi telah memantau pembebasan dan misi menyelamatkan tiga lagi rakyat Malaysia yang ditahan militan Abu Sayyaf.

“Saya sendiri akan hubungi beliau untuk ucapkan penghargaan dan terima kasih atas usahanya sendiri dalam pembebasan rakyat kita sempena harijadi beliau ke-72 baru-baru ini.

“Ini tanda keakraban hubungan Filipina-Malaysia. Saya ucapkan terima kasih atas kejayaan ini. Juga penghargaan kepada tentera Filipina, Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Wisma Putra, kerajaan negeri Sabah, Kelab Putera 1Malaysia yang telah membantu menguruskan pembebasan rakyat kita,” katanya.

Dilapor, ketiga-tiga mangsa tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira 8 malam semalam selepas diselamatkan Joint Task Force Sulu semasa menjalankan operasi ketenteraan bersepadu di Sulu pada 26 Mac lalu.

Najib berkata kesemua mangsa culik akan menjalani pemeriksaan kesihatan dalam tempoh terdekat dan boleh pulang ke tempat masing-masing selepas selesai proses yang sepatutnya.
Perdana menteri juga dimaklumkan bahawa ada di antara mangsa culik itu ingin menyertai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) untuk tugasan di Zon Keselamatan Timur Sabah (Esszone) jika mempunyai peluang kelak.

“Saya sudah menghubungi Datuk Seri Shahidan Kassim (Menteri di Jabatan Perdana Menteri bertanggungjawab bagi APMM) untuk memberi tempat sebagai anggota pasukan itu selepas menjalani latihan sedikit masa lagi.

“Ini menunjukkan semangat mereka, malah mereka tahu keadaan di pulau-pulau di sana. Oleh kerana itu, mereka ingin menyumbang kepada usaha meningkatkan tahap keselamatan di kawasan Esszone,” katanya.

Pada Isnin lepas, Najib dan isteri Rosmah Mansor turut bertemu dan mendengar sendiri cerita dua lagi nelayan yang turut menjadi mangsa culik, Tayudin Anjut, 46, dan Abdul Rahim Summas, 63.

Pada 18 Julai lepas, kelima-lima mereka diculik oleh kumpulan militan itu dan kapal tunda Serudong 3 yang mereka naiki ditemukan dalam keadaan enjin masih hidup di perairan Dent Haven, Lahad Datu, Sabah. – Bernama