Muktamar PAS ke-63 di Kedah

 |Feb 24, 2017
Gambar fail kredit The Rakyat Post.

Muktamar Tahunan PAS ke-63 pada 28 April hingga 1 Mei ini akan diadakan di Kedah dan dijangka dihadiri kira-kira 1,200 perwakilan dengan tumpuan utama kepada agenda pemilihan peringkat tertinggi dan sayap.

Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan berkata program ‘Amanat Presiden dan Taklimat Setiausaha Agung’ pada malam 28 April akan membuka tirai muktamar secara tertutup.

Beliau berkata majlis perasmian dijadual pada 29 April di Kompleks PAS Kedah dengan agenda pemilihan parti dijangka akan dimulakan pada sebelah petang hari yang sama.

“Jangkaan kita kalau perancangan berjalan lancar kita akan mengadakan pemilihan secara e-voting dan pengiraaan pun melalui komputer. Saya jangkakan pada sebelah malam keputusan boleh diketahui.

“Kita ada jawatankuasa pemilihan PAS pusat diketuai Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Datuk Wan Abdul Mutalib Embong dan insya-Allah pada 30 April atau 1 Mei PAS sudah ada kepimpinan baharu,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Jelas Takiyuddin, bagi pemilihan di peringkat pusat, ia melibatkan jawatan presiden, timbalan presiden, tiga naib presiden dan 18 Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, manakala bagi peringkat sayap, ia melibatkan ketua, timbalan dan naib.

Tarikh ditetapkan untuk Muktamar Dewan Ulama ialah pada 28 April di Sekolah Rendah Islam Darul Ulum, Tandop.

Muktamar Dewan Pemuda pada 27 hingga 28 April di Kompleks PAS Kedah dan Muktamar Dewan Muslimat juga pada 27 hingga 28 April di Pusat Pengajian Darul Hadis, Kampung Tok Keling, Alor Setar.

Pelbagai acara smpingan seperti pameran, jualan, dan persembahan artis nasyid akan dilangsungkan sepanjang muktamar berlangsung. – Bernama

SHARE