Mukhriz mahu saman Tunku Abdul Aziz

Jan 10, 2017
Timbalan Presiden Parti Bersatu Mukhriz Mahathir berkata beliau yakin berada di pihak yang benar. - Gambar fail kredit Instagram @mukhrizmahathir.
Timbalan Presiden Pribumi Mukhriz Mahathir berkata beliau yakin berada di pihak yang benar. – Gambar fail kredit Instagram @mukhrizmahathir.

Berbeza dengan Lim Kit Siang yang sebelum ini memberitahu beliau tidak mahu ‘membuang masa’ dengan menyaman Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim, bekas Menteri Besar Kedah Mukhriz Mahathir pula sudah berbincang dengan peguamnya untuk menyaman bekas naib pengerusi DAP itu.

Bercakap kepada Sinar Harian, Mukhriz yang kini timbalan presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Pribumi) berkata beliau yakin berada di pihak yang benar.

Sekiranya tidak, katanya, beliau tidak akan berani untuk mengambil tindakan undang-undang.

“Tindakan ini diambil supaya tiada pihak berani membuat andaian bukan-bukan dengan mengaitkan (pemimpin Pribumi) dengan kepentingan peribadi sedangkan apa yang kami lakukan adalah untuk menyelamatkan negara,” beliau dipetik sebagai berkata.

Mukhriz turut mendakwa bahawa beliau tidak nampak Tunku Abdul Aziz insaf dengan ‘tuduhan liarnya’ itu.

Terdahulu, Tunku Abdul Aziz mendedahkan, berdasarkan maklumat diperolehi sumbernya, terdapat perjumpaan rahsia antara Lim yang merupakan penasihat parti DAP dan bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad di mana mereka membuat janji untuk mengangkat Mukhriz sebagai Perdana Menteri dan Lim sebagai timbalannya.

Susulan pendedahan yang dibuat, Tunku Abdul Aziz mencabar Mukhriz dan Lim untuk membuat pengakuan bersumpah (SD) menafikan mereka mempunyai cita-cita untuk menjadi PM dan TPM.

Berikutan perkara itu, Lim memberitahu media bahawa beliau telah mengarahkan peguamnya untuk memulakan prosedur undang-undang terhadap Utusan Malaysia, New Straits Times dan mana-mana media yang melaporkan ‘berita palsu’ berhubung dakwaan terhadap perjanjian rahsianya.

Apabila ditanya mengapa beliau tidak menyaman Tunku Abdul Aziz, Lim berkata beliau tidak berminat untuk ‘membuang masa dengan orang yang membuat dakwaan itu kerana sudah hilang hormat, kepercayaan dan kredibiliti’ terhadapnya.

Mukhriz sebelum ini telah mencabar Tunku Abdul Aziz menunjukkan bukti dan mendedahkan sumber beliau.

Tunku Abdul Aziz memberitahu Malaysia Outlook minggu lepas bahawa Lim tidak sepatutnya bertindak menyaman media yang melaporkan pendedahannya.

“Mereka (DAP) tidak mahu fokus kepada isu utama di sini, sebaliknya mereka menyerang peribadi saya dan bertindak menyaman suratkhabar yang sekadar melaporkan kenyataan yang telah saya berikan di satu sidang media,” kata Tunku Abdul Aziz, sambil sekali lagi melemparkan cabaran kepada Lim dan Mukhriz untuk membuat pengakuan bersumpah.

“Jika mereka buat pengakuan bersumpah, selepas itu mereka boleh menyaman saya,” katanya lagi.

Artikel berkaitan:

‘Siapa Lim Kit Siang untuk bercakap soal maruah?’

Tunku Abdul Aziz gesa Mukhriz, Kit Siang buat pengakuan bersumpah

SHARE