Mohd Faiz Subri dominasi carta trending di Twitter

Jan 10, 2017
Gambar kredit Youtube FifaTV.
Gambar kredit Youtube FifaTV.

Kejayaan anak kelahiran Kedah Mohd Faiz Subri membawa pulang Anugerah berprestij Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) 2016 mendominasi perbualan netizen pagi ini.

Hashtag #faizsubri dan #PuskasAward yang kini sedang trending di Twitter membuktikan sekali lagi bahawa sukan mampu menyatukan rakyat Malaysia.

Perdana Menteri Najib Razak menulis di Twitternya, “Tahniah Faiz Subri! Kejayaan anda dlm #FIFAPuskasAward 2016 akan beri inspirasi kpd semua pemain bola sepak Msia & jg harumkan nama negara!”

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin menerusi akaun Twitter rasminya berkata, “So proud. Tahniah, Faiz. Once in a lifetime goal.” (Sangat bangga. Tahniah Faiz. Gol yang datang sekali seumur hidup.)

Tidak ketinggalan, Malaysia Airlines turut serta bersama-sama rakyat Malaysia yang lain mengucapkan tahniah kepada pemain Pulau Pinang itu.

“Congratulations Faiz Subri for netting the FIFA Puskas Awards for the most beautiful goal of 2016.” (Tahniah Faiz Subri kerana memenangi Anugerah Puskas FIFA bagi goal tercantik 2016.)

Kejayaan Mohd Faiz mengalahkan finalis lain di majlis Anugerah FIFA itu menjadi kebanggan rakyat Malaysia kerana beliau turut menjadi orang Asia pertama yang membawa pulang anugerah berprestij Puskas itu.

Antara pemain bola sepak antarabangsa yang pernah membawa pulang Anugerah Puskas gol tercantik adalah Ronaldo, Lionel Messi dan Zlatan Ibrahimovic.

Menerusi akaun Twitternya sendiri @faizsubri131, Mohd Faiz memberitahu bahawa beliau cukup gementar semasa penyampaian anugerah tersebut berlangsung.

“Saya sangat gementar. Nasib baik dapat jumpa ini dalam telephone. Terima kasih semua, Malaysia Boleh dan Haria Penang Haria,” tulisnya, merujuk kepada teks ucapan terima kasih yang disimpan di dalam telefon bimbitnya. (I’m so nervous, lucky I can find this on my cellphone, thank you everyone, Malaysia Boleh and Haria Penang Haria.)

Semasa namanya diumum sebagai pemenang, Mohd Faiz kelihatan gementar sambil membelek telefon bimbitnya. Pengacara majlis Eva Longoria yang popular dengan drama televisyen Desperate Housewives berkata dengan nada lawak, “Dia sedang semak pesanan teks.”

SHARE