Misi pencarian MH370 tamat hari ini

 |Jan 17, 2017
Gambar fail kredit Wikimedia Commons.
Gambar fail kredit Wikimedia Commons.

Misi pencarian pesawat Malaysia Airlines MH370 oleh Malaysia, Australia dan China digantung bermula hari ini.

Menurut kenyataan bersama dikeluarkan tiga negara itu, kapal pencarian terakhir telah pun meninggalkan kawasan pencarian di Lautan Hindi.

Setelah pencarian dilakukan di kawasan seluas 120,000 kilometer persegi di Lautan Hindi, MH370 masih belum dijumpai.

“Keputusan untuk menggantung misi pencarian ini tidak diambil dengan mudah dan bukan dibuat tanpa rasa kesedihan. Ini adalah konsisten dengan keputusan yang dicapai tiga negara ini di dalam mesyuarat tiga hala yang diadakan di Putrajaya pada Julai 2016,” kata kenyataan tersebut yang dikeluarkan Menteri Pengangkutan Malaysia Liow Tiong Lai, Menteri Pengangkutan China Li Xiaopeng dan Menteri Infrastruktur dan Pengangkutan Australia Darren Chester.

“Gabungan kajian saintifik dengan berterusan cuba untuk menghalusi kawasan pencarian namun sehingga hari ini, tiada maklumat terbaru diperolehi yang boleh menentukan lokasi spesifik pesawat tersebut.”

Ketiga-tiga negara itu turut menyampaikan rasa terharu terhadap komitmen serta dedikasi yang diberikan oleh setiap individu yang terlibat dengan misi pencarian MH370.

“Pengumuman hari ini adalah signifikan bagi ketiga-tiga negara ini, tetapi lebih signifikan bagi keluarga dan rakan-rakan kepada mangsa MH370.

“Kami sekali lagi mengambil peluang ini untuk memperingati memori mereka yang terkorban di dalam tragedi ini dan mengakui kehilangan besar yang dirasai oleh orang tersayang mangsa-mangsa MH370.”

Kenyataan tersebut turut berkata ketiga-tiga negara akan terus berharap agar informasi baru akan diperolehi dan di masa hadapan, pesawat tersebut akan ditemui.

Pesawat MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal hilang semasa dalam perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Beijing, China pada 8 Mac, 2014.