Michelle Yeoh dianugerahi darjah ‘commander of the Legion d’Honneur’

 |Mar 29, 2017
Michelle Yeoh bersama Presiden Perancis Francois Hollande. – Gambar kredit Facebook Michelle Yeoh 楊紫瓊.

Pelakon antarabangsa Michelle Yeoh Choo Kheng menerima anugerah ketiga Legion d’Honneur dari Perancis atas sumbangannya dalam bidang kebudayaan dan industri perfileman.

Beliau dianugerahi darjah ‘the Commander of the Legion d’Honneur’ oleh presiden Francois Hollande dalam satu majlis di kediaman duta besar Perancis di Kuala Lumpur semalam.

Terdahulu, Yeoh, 54, pernah dikurniakan darjah ‘Knight’ dan ‘Officer’ anugerah berprestij itu oleh kerajaan Perancis masing-masing pada 2007 dan 2012.

Turut hadir pada majlis itu ibunya Janet Yeoh, iparnya Megan Yeoh dan Duta Besar Perancis ke Malaysia Christophe Penot.

Muncul dengan pakaian gemilang hijau zamrud rekaan Elie Saab, aktres itu berkata ia benar-benar satu penghormatan buatnya daripada Hollande.

“Saya amat teruja dan berasa begitu dihormati… dalam jadualnya yang amat ketat, bagi Presiden Holland melakukan ini, saya benar-benar rasa dihormati,” kata Yeoh kepada Bernama.

Anugerah Legion d’Honneur diwujudkan oleh pemimpin tentera dan emperor Perancis Napoleon Bonaparte pada 1802.

Ia mengandungi lima darjah — Chevalier (Knight), Officier (Officer), Commandeur (Commander), Grand Officier (Grand Officer) dan Grand’Croix (Grand Cross).

Warga Malaysia lain yang menerima anugerah Legion d’Honneur termasuk Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin pada 2010 serta ketua pegawai eksekutif kumpulan AirAsia Tony Fernandes pada 2010 dan 2013.

Dilahirkan di Ipoh, Perak pada 6 Ogos 1962, Yeoh melonjak ke kemuncak kesohoran antarabangsa apabila beliau berlakon di samping Pierce Brosnan dalam filem James Bond, ‘Tomorrow Never Dies.’

Hollande, dalam lawatan negara dua hari ke Malaysia sejak Isnin turut mengadakan pertemuan dengan masyarakat Perancis di Malaysia sebelum menghadiri majlis jamuan negeri di Istana Negara. – Bernama