MH370: Mesyuarat tiga pihak akan diadakan sebelum 28 Januari

Jan 6, 2017
Gambar fail kredit Facebook Liow Tiong Lai.
Gambar fail kredit Facebook Liow Tiong Lai.

Mesyuarat antara Malaysia, Australia dan China berhubung operasi pencarian pesawat Malaysia Airlines MH370 akan diadakan sebelum 28 Januari ini, kata Menteri Pengangkutan, Liow Tiong Lai.

Beliau berkata keputusan sama ada untuk meneruskan atau menggantung sementara operasi pencarian pesawat malang itu yang hilang pada 7 Mac 2014 akan diputuskan menerusi mesyuarat tiga pihak itu.

“Mesyuarat peringkat pegawai bagi Malaysia, Australia dan China diadakan bulan lalu dan satu lagi mesyuarat peringkat menteri melibatkan tiga negara tersebut dijangka diadakan sebelum Tahun Baharu Cina (28 Januari) ini.

“Ketiga-tiga negara komited untuk selesaikan proses pencarian di kawasan seluas 120,000 kilometer (km) persegi di selatan Lautan Hindi yang kini berada di peringkat akhir,” katanya selepas melancarkan Kempen Keselamatan Jalan Raya Kawasaki 2017 edisi kedua di Plaza Tol Sungai Besi arah selatan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Liow berkata sehingga kini pihak berkuasa yang terlibat tidak bercadang untuk mengubah operasi pencarian ke kawasan lain memandangkan tiada sebarang bukti atau petunjuk tepat berhubung misteri kehilangan pesawat MH370.

“Walaupun ada (pihak) mengatakan mungkin (pesawat itu) terdapat (di) kawasan lain, tapi itu semua hanya berdasarkan andaian. Kita tak ada petunjuk tepat untuk mencari di kawasan yang dikatakan itu.

“Buat masa ini, kita akan selesaikan di kawasan pencarian (120,000km persegi), dan apabila selesai semuanya, kita akan tunggu laporan jika terdapat bukti kukuh yang lain untuk diteliti,” katanya.

Ditanya mengenai laporan siasatan operasi pencarian MH370 di selatan Lautan Hindi, Liow berkata ia dijangka siap dalam masa seminggu dua lagi.

Katanya apabila siap kelak, laporan tersebut akan dimuat naik di laman sesawang Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB).

“Misi pencarian akan tamat tidak lama lagi dan selepas itu laporan operasi pencarian akan dikeluarkan secara online. Sebarang keputusan berdasarkan laporan itu akan dibuat kemudian,” katanya.

Pada 7 Mac 2014, pesawat MH370 yang membawa 239 penumpang dan anak kapal hilang ketika dalam penerbangan ke Beijing dari Kuala Lumpur.

Sementara itu, Liow berkata Ops Jalan yang berobjektif meminimumkan kadar kemalangan jalan raya bersempena sambutan Tahun Baharu Cina pada 28 dan 29 Januari ini diadakan bermula 21 Januari hingga 6 Februari.

“Ops Jalan ini adalah kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bersama Jabatan Keselamatan Jalan Raya dan Polis Diraja Malaysia.

“Lebih 1,000 anggota JPJ akan terlibat dalam Ops Jalan dan berada di semua kawasan operasi untuk menjalankan pemeriksaan selain memastikan penguatkuasaan dapat dipertingkatkan,” katanya.

Beliau berkata Ops Jalan sebelum ini diadakan pada 24 hingga 26 Disember lepas bersempena perayaan Krismas dan 30 Disember hingga 2 Januari bersempena Tahun Baharu 2017.

Liow turut menzahirkan kebimbangan terhadap peningkatan jumlah kemalangan jalan raya apabila sebanyak 489,606 kes dilaporkan pada 2015 berbanding 476,196 kes pada 2014.

“Jumlah kemalangan jalan raya setiap tahun tidak mencatatkan penurunan dengan kadar kematian tidak kurang daripada 6,000 orang setiap tahun sejak 10 tahun lepas,” katanya.