‘Meriahkan kibaran Jalur Gemilang, semarakkan semangat patriotik’

 |Aug 4, 2017
Gambar fail kredit The Rakyat Post.

PETALING JAYA: Aktiviti kibar Jalur Gemilang wajar diberi perhatian oleh semua lapisan masyarakat terutamanya dalam bulan Ogos ini sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-60.

Bagi menzahirkan semangat patriotisme, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak mengajak rakyat mengibarkan jalur gemilang bukan sahaja sempena menyambut kemerdekaan tetapi juga penganjuran Sukan Sea 2017 bulan ini.

Salleh berkata, aktiviti mengibarkan jalur gemilang dilihat masih kurang dan lesu walaupun pelbagai aktiviti diadakan untuk menyambut kemerdekaan dengan meriah.

“Di Malaysia, kita juga menyambut bulan kemerdekaan dengan meriah. Di sekolah, kita adakan pertandingan syarahan kemerdekaan. Di televisyen, kita juga tunjukkan filem perjuangan menuntut kemederkaan. Di media sosial, kita juga bincangkan pengisian kemerdekaan,” tulisnya dalam laman blog beliau sskeruak.blogspot.my, hari ini.

Beliau turut mempersoalkan semangat patriotisme rakyat yang semakin hilang dengan kurang mengibarkan jalur gemilang.

“Semangat patriotisme rakyat kita tidak hilang. Semangat patriotisme rakyat kita kuat, cumanya kekuatan itu tidak muncul. Kekuatan semangat itu terpendam di dada sahaja.

“Ini kerana sikap kita yang menganggap mengibar bendera itu hanya satu simbolik. Mengibar bendera itu bukan keutamaan untuk menzahirkan kebanggaan.

“Masalah sikap inilah yang menyebabkan rakyat kita memandang mudah kepada keperluan mengibarkan jalur gemilang,” tulisnya.

Salleh berharap sikap tersebut akan berubah pada tahun ini dengan mengajak rakyat bersama mengibarkan Jalur Gemilang sempena Malaysia sebagai tuan rumah Sukan SEA sekaligus memeriahkan lagi sambutan kemerdekaan.

“Saya harap tahun ini sikap sebegitu tidak berlaku lagi. Dengan tema kemerdekaan kita tahun ini ‘Negaraku Sehati Sejiwa’, adalah wajar bagi kita semua bersatu hati menyambut kemerdekaan bersama.

“Tunjukkan kepada negara luar betapa kuatnya jiwa patriotik kita anak Malaysia. Tunjukkan kepada negara luar kita bangsa yang menjunjung tinggi akhlak dan budaya, bukannya bangsa yang lupa sejarah.

“Marilah kita buktikan kemerdekaan sebagai lambang pemersatu kita rakyat Malaysia. Sambutlah kemerdekaan kita dengan penuh kebanggaan,” tulisnya. – MO